Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 08 JANUARI 2024 : Sebanyak 1,165 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pekan, Rompin, dan Maran setakat tengahari hari ini berbanding 1,081 pagi tadi.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, kesemua mangsa dipindahkan ke 24 PPS melibatkan 316 keluarga berbanding 285 keluarga sebelum ini.
Sebanyak sembilan PPS di Maran menempatkan 485 mangsa daripada 115 keluarga dibuka di Kampung Ulu Luit; Surau Bukit Kuin; Balairaya Kampung Bak Bak; Pusat Pemindahan Tetap Luit; Balairaya JKKR Jengka 17; Pusat Pemindahan Banjir Kampung Baru Sungai Chedong; Dewan Felda Jengka 6; Surau Bukit Bintang; dan Balairaya Kampung Jara.
Manakala di Rompin, lapan PPS dibuka menempatkan 448 mangsa daripada 140 keluarga iaitu di Dewan Orang Ramai Bukit Ibam; Pusat Pemindahan Banjir Kampung Setajam; Balairaya Bukit Lepas; Balairaya Kampung Mikang; Dewan Orang Ramai Leban Chondong; SK Buluh Nipis; SK Kampung Aur; dan SK Leban Chondong.
Bagi daerah Pekan, sebanyak tujuh PPS dibuka menempatkan 232 mangsa daripada 61 keluarga di Balairaya Gumum; Dewan Semai Bakti Felda Chini 1; Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3; Dewan Semai Bakti Felda Chini 3; Balairaya Batu Gong; Dewan Dato Sri Abu Bakar Bukit Udang; dan Balairaya Kampung Tanjung.
Tiga sungai utama di negeri ini juga direkodkan berada tahap bahaya dengan tren menaik iaitu Sungai Lubuk Paku di Maran; Kuala Chini dan Paloh Hinai di Pekan. -PAHANGMEDIA

