Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
CAMERON HIGHLANDS, 6 JANUARI 2024 : Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan berusaha memendekkan tempoh bagi pemindahan semula 17 buah keluarga Orang Asli Kampung Sungai Ruil ke rumah mereka yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada 12 Oktober lalu.
YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tempoh perolehan serta penyiapan rumah terbabit yang dijangka selesai dalam masa dua tahun dianggap terlalu panjang.
“Oleh kerana tempoh reka bentuk dan juga tempoh perolehan serta penyiapan itu terlalu panjang, kami akan melakukan tindakan bagi memperoleh kelulusan khas untuk memendekkan tempoh perolehan dengan kaedah-kaedah yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Apa yang penting, kami anggap tempoh dua tahun itu terlalu panjang biarpun TNB (Tenaga Nasional Berhad) memberikan penyewaan untuk kuarters mereka selama dua tahun tapi saya harap kerjasama diantara KKDW, JAKOA dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta lain-lain agensi dapat memendekkan tempoh bagi pemindahan semula 17 keluarga ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan selepas mengadakan lawatan ke lokasi pasca bencana di Kampung Orang Asli Sungai Ruil, di sini.
Hadir sama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaakob, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Ramli Mohd Noor.
Sementara itu beliau yang juga Menteri KKDW turut mengingatkan kepada penduduk di sekitar kawasan rumah yang terjejas untuk tidak khuatir sepanjang proses membaikpulih dan membaiki cerun dijalankan.

“Apa yang penting Pengarah JKR negeri memberitahu bahawa struktur cukup kukuh..ertinya kediaman ini mempunyai cerucuk (asas) yang agak kukuh.
“Beberapa tindakan teknikal dilakukan bagi menentukan bahawa rumah-rumah ini kukuh dan jika berpindah semula InsyaAllah ianya akan terus dipantau oleh pihak JKR dan JAKOA supaya sebarang pergerakan air di bawah tanah dan lain-lainya dapat dikesan dan diambil tindakan dengan segera,” katanya.
Sementara itu, JKR pada awal November lalu, mendapati kerja baik pulih cerun yang runtuh itu akan mengambil masa dua tahun membabitkan peruntukan lebih RM3 juta di mana ia dijangka siap pada November 2025.
Pada 12 Oktober lalu, 88 orang penduduk terdiri dari 17 keluarga terbabit dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di perkampungan itu
JAKOA dalam kenyataannya memaklumkan akan menanggung sepenuhnya pembayaran sewa kuarters TNB bagi menempatkan 17 keluarga Orang Asli Sungai Ruil yang terjejas yang disewakan pada kadar RM500 sebulan seunit dan mengecualikan bayaran deposit sewaan selama tiga bulan seperti yang terkandung di dalam terma perjanjian penyewaan sebelum ini.
Blok kuarters berkenaan kini sedang dibaik pulih TNB supaya ia selesa diduduki dan dijangka siap akhir Januari ini. -PAHANGMEDIA

