Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 25 DISEMBER 2023 : Rakyat di negeri ini terutamanya yang berisiko diminta supaya patuh dengan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan menjaga keselamatan diri ketika banjir.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam hantaran di media sosial berkata ini berikutan beberapa kawasan di negeri ini yang telah dinaiki air dan banjir ketika ini.
“Berikutan peningkatan jumlah hujan serta kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan di Negeri Pahang, saya ingin terus menasihati rakyat negeri ini terutamanya di kawasan berisiko untuk bersiap sedia berpindah ke pusat-pusat pemindahan apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.
“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga terjamin daripada sebarang bentuk musibah yang lebih besar seperti kehilangan nyawa.
“Saya juga mengingatkan agar rakyat negeri tidak turun ke sungai untuk menangkap ikan kerana kita bimbang kejadian-kejadian yang tidak diduga boleh berlaku,” katanya.
Beliau turut meminta mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara untuk bersabar menghadapi perkara ini serta turut melahirkan penghargaan kepada kerja keras pasukan keselamatan di negeri ini.
“Kepada mereka yang telah berpindah ke pusat-pusat pemindahan, saya berharap anda semua terus bersabar dan insya-Allah segala keperluan di sini telah pun disediakan.
“Kepada pasukan penyelamat dan pasukan keselamatan, teruskan khidmat bakti demi memastikan keselamatan rakyat negeri ini terjaga dan saya menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh anda semua.
“Marilah kita berdoa semoga Allah SWT melindungi rakyat dan negeri ini daripada sebarang bentuk bencana dan malapetaka,” katanya.
Setakat ini Raub telah membuka empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Surau Kampung Peruas; Dewan Kampung Pamah Kulat; Rumah Pertanian Kampung Pamah Rawas; dan balairaya Kampung Pamah Rawas yang menempatkan 171 mangsa daripada 40 keluarga.
Manakala PPS SK Kota Gelanggi 1, Jerantut yang dibuka semalam secara rasminya telah ditutup pada 11 pagi hari ini namun demikian keadaan semasa akan terus dipantau oleh pihak berkuasa. -PAHANGMEDIA

