Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
TEMERLOH, 24 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang bersetuju menjadikan Daerah Temerloh sebagai hub permotoran di Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, secara dasarnya kerajaan telah pun bersetuju dengan cadangan tersebut dan akan memperhalusi pelaksanaannya.
“Kalau tiada masalah, ada tapak untuk buat projek litar dan sebagainya kita akan laksanakan tetapi di peringkat awal ini kita perlu ada satu kajian yang menyeluruh tetapi Kerajaan Negeri setuju untuk buat di Temerloh.

“Pada dasarnya kita bersetuju (pelaksanaan hub permotoran di Temerloh),” kata kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Karnival Permotoran 2 Roda Temerloh 2023 yang berlangsung meriah di Dataran Temerloh hari ini..
Hadir sama ialah YB. Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal.
Karnival yang berlangsung selama dua hari itu telah bermula semalam dan berakhir hari ini dengan disertai lebih 15,000 peserta dan pengunjung dari seluruh Malaysia yang sama-sama memeriahkan program julung kali diadakan di Pahang.

Dato’ Sr Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri juga bersetuju menambah peruntukan program kepada RM100,000 pada tahun hadapan.
Kerajaan Negeri juga menerusi Belanjawan 2024 yang baru dibentangkan telah memperuntukkan RM720,000 kepada 3,600 anak muda berusia 18 hingga 21 tahun untuk mengambil lesen motor (kereta dan motosikal).
Karnival permotoran ini diadakan bagi mengumpulkan peminat dunia permotoran di samping memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya kepada golongan muda.
Karnival ini juga dapat memberi alternatif kepada kanak-kanak dan belia agar melakukan aktiviti bermanfaat selain bergantung kepada gajet semata-mata.
Dalam aspek lain, karnival ini juga dapat merancakkan ekonomi setempat dan mempromosikan eko-pelancongan Daerah Temerloh dan menjadikan karnival ini sebagai acara tahunan di Temerloh. – PAHANGMEDIA

