Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 25 DISEMBER 2023 : Seramai 171 mangsa banjir daripada 40 keluarga telah dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Raub, sehingga jam 12 tengahari.
Menurut laporan daripada Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Pahang keadaan banjir di daerah itu juga menunjukkan tren menurun berbanding 8 pagi tadi seramai 238 mangsa.
“Seramai 81 mangsa dari 18 keluarga dipindahkan ke PPS Surau Kampung Peruas yang mula dibuka jam 12.40 pagi tadi dan seramai 55 mangsa daripada 14 keluarga pula dipindahkan ke PPS Balairaya Pamah Kulat.
“Manakala 15 mangsa daripada empat keluarga pula dipindahkan ke PPS Pertanian Pamah Rawas dan 20 mangsa daripada empat keluarga pula berada di PPS Balairaya Pamah Rawas,” menurut laporan berkenaan.
Berdasarkan laporan sama, dua sungai menunjukkan tren meningkat dan melepasi aras bahaya iaitu Sungai Jelai di Kuala Medang serta Sungai Lembing di Kuantan.
Manakala sebanyak tujuh sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Tembeling, Kampung Merting dan Sungai Pahang, Jerantut Feri di Jerantut, Sungai Dong, Kampung Peruas di Raub, Sungai Pahang, Kuala Krau di Temerloh, Sungai Luit, Kampung Subuh di Maran dan Sungai Belat, Jambatan Gambang di Kuantan.
Walau bagaimanapun, sebanyak 10 sungai berada pada paras waspada dengan beberapa sungai menunjukkan tren meningkat. -PAHANGMEDIA

