Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 DISEMBER 2023 : Sungai Lembing melepasi paras bahaya dengan aras terkini direkodkan pada 38.04 meter setakat 8 malam ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, bacaan bagi paras bahaya bagi sungai berkenaan adalah 36.00 meter.
Laporan berkenaan turut merekodkan bacaan amaran melibatkan tiga lagi sungai utama di negeri ini iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan yang berada pada tren air menurun; Sungai Tembeling di Kuala Tahan (tren air menaik); dan Sungai Tembeling di Kampung Merting (tren air menaik), kesemuanya di Jerantut.
Manakala empat lagi sungai berada pada paras waspada melibatkan Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Pahang di Jerantut Feri, Jerantut; Sungai Tembeling di Kampung Bantal Seberang, Jerantut; dan Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut.
Bagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka kekal satu di SK Felda Kota Gelanghi 1, Jerantut melibatkan penduduk terjejas seramai 78 mangsa daripada 19 keluarga.
Jumlah mangsa dipindahkan ke PPS berkenaan bertambah berbanding 75 mangsa sebelum ini disebabkan limpahan air dari Sungai Siam akibat hujan lebat sejak semalam. -PAHANGMEDIA

