Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 20 DISEMBER 2023 : “Perasaan saya amat bersyukur..boleh dikatakan dari mula (proses) daripada menyukat (ukur) tapak sehingga siap rumah ini, saya rasa gembira dan bertuah kerana dapat rumah yang lebih baik dan selamat.”
Itu kata Encik Kamarudin Busu, 70, dari Kampung Sungai Kayu Ara ketika ditemui selepas Pra-penyerahan dan meninjau tujuh buah rumah banjir yang dibina khas oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga ADUN Dong, YB. Fadzli Mohamad Kamal.
Katanya, pengalaman menunggu bot penyelamat selama 13 jam ketika rumah dilanda banjir menjadi kenangan yang tak akan pernah dilupakannya.
Menurutnya, jika tiada bantuan rumah daripada Kerajaan Negeri Pahang, kemungkinan beliau dan keluarga akan kembali menghadapi pengalaman sama seandainya banjir kembali melanda.
“Keadaan rumah lama sudah teruk dan sukar untuk dibaiki lagi, saya tiga beranak pernah duduk di atas bumbung rumah selama tiga jam menunggu bot penyelamat sampai iaitu kira-kira pukul 3 pagi,” katanya.
Dalam pada itu beliau merakamkan rasa penghargaan kepada Menteri Besar Pahang serta wakil rakyat kawasan Dong yang berusaha menyediakan penempatan baru kepadanya dan penduduk lain yang terlibat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada YB (Dong) dan MB yang banyak membantu kami mangsa banjir. YAB Menteri Besar ada datang ke rumah lama dan saya pun minta rumah di satu kawasan yang boleh menempatkan penduduk yang banjir di kawasan selamat dan tak pernah kena banjir.
“Jadi daripada situ, saya betul-betul ucapkan terima kasih atas berjayanya projek ini dan dapatlah kami semua tempat tinggal yang selamat dan lebih selesa,” katanya. – PAHANGMEDIA

