Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 20 DISEMBER 2023 : Isu tiada peruntukan kepada wakil rakyat dari blok pembangkang di negeri ini dilihat tidak perlu menjadi polemik berpanjangan sementelah kebajikan di setiap DUN termasuk di kawasan pembangkang kekal terjaga.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, sentimen peruntukan yang tidak habis dijaja terutamanya oleh beberapa wakil rakyat pembangkang dilihat hanya untuk memburukkan imej Kerajaan Perpaduan di negeri ini.
“Ia hanyalah kenyataan politik yang cuba menidakkan usaha dan komitmen yang dilakukan Kerajaan Negeri Pahang. Apa yang penting peruntukan kewangan, bantuan sampai kepada rakyat tidak kiralah macam mana (cara).
“Sebagai contoh, setiap DUN di negeri Pahang terima bantuan lapan buah rumah..tak kisah pun walau di kawasan pembangkang, yang penting tetap dapat lapan buah rumah. Saluran bantuan Kerajaan Negeri tidak pernah terhenti walaupun di kawasan pembangkang.
“Jadi, tidak perlulah (pembangkang) politikkan isu-isu sebegini, kita buat je kerja kita. Kita dah menang pilihan raya, dah dapat mandat daripada rakyat jadi kita tolonglah rakyat sebab rakyat pilih kita untuk bantu mereka, jadi tak perlu politik macam –macam ni, kita bantu je rakyat..selebihnya Kerajaan Negeri akan terus bantu salur bantuan kepada rakyat, jadi rakyat tak pernah terabai,” katanya.
Beliau berkata selepas Pra-penyerahan dan meninjau tujuh buah rumah banjir yang dibina khas di Kampung Ajai dan menyerahkan kunci 11 buah Rumah Rakyat Pahang (RRP) di DUN Dong dan Tras. – PAHANGMEDIA