Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 DISEMBER 2023 : Program Mystery Books yang berlangsung di Menara 188 bermula hari ini menawarkan 107 buah buku genre seram kepada pengunjung menara.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), Encik Amer Shazlin Saadon, konsep ini dipilih memandangan ia mendapat permintaan yang tinggi daripada pembaca.
“Antara buku novel biasa dengan novel horror ini, 70 peratus pembaca lebih berminat membaca kisah-kisah seram ini.
“Malah di PPAP juga, yang sering dicari pengunjung perpustakaan adalah buku bergenre begini sama ada dalam bahasa Inggeri mahupun Melayu,” katanya pada majlis perasmian program berkenaan di Menara 188.

Beliau berkata program buku secara percuma ini akan berlangsung sehingga 31 Disember depan turut membawa van bergerak milik PPAP bagi pembaca yang ingin memilih genre berbeza.
Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Kuantan 188 dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) diwakili Pengarah PPAP, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi dan Pengurus Besar Kuantan 188, Puan Khalisa Azman.
Sementara itu, menurut Pengarah PPAP, Puan Nor Zahira berkata program ini merupakan kesinambungan program serupa di Perpustakaan Awam Daerah Bentong.
“Kita nak menggalakan anak-anak yang bercuti sepanjang cuti sekolah ini ada ilmunya dan dalam mendapatkan ilmu, ada tarikannya.
“Dan bagi pengunjung yang membeli pakej jualan yang ditawarkan oleh menara Kuantan 188, termasuk di dalam yuran itu adalah yuran keahlian di perpustakaan Pahang,” katanya.
Menurut Pengurus Besar Kuantan 188, Puan Khalisa, program ini yang merupakan salah satu cabang pelancongan pendidikan dapat diteruskan dalam jangka masa panjang bagi menyuburkan minat membaca dalam kalangan rakyat di negeri ini. -PAHANGMEDIA

