Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 17 DISEMBER 2023 : Pekan Sehari Temerloh diiktiraf sebagai Pekan Sehari Terpanjang di dalam Malaysia Book of Records iaitu sejauh 2,153 meter dengan jumlah seramai 607 orang peniaga.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hadir menerima sijil pengiktirafan berkenaan di sini dan pada masa sama beliau merasmikan Majlis Pelancaran “Cashless” Pekan Sehari Temerloh di sini.
Beliau ketika ditemui media berkata, keistimewaan Pekan Sehari Temerloh di Lurah Semantan yang berusia 150 tahun dan kini dikunjungi sehingga 5,000 ke 7,000 orang sehari turut dicadangkan sebagai salah sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Kita akan buat permohonan (kepada UNESCO), kita takkan dapat dah tempat lain. Kita kena jaga Pekan Sehari ini dari segi kebersihan, tradisi dan kemeriahan pelbagai jenis jualan yang ada.
“Malah selama lebih 40 tahun kita tak pernah naikkan kadar bayaran tapak (kekal RM10) bagi menyokong usaha-usaha peniaga mencari rezeki. Jadi saya harap semua pihak main peranan bagi menjaga keistimewaan Pekan Sehari Temerloh ini,” katanya.
Hadir sama pada majlis berkenaan, YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Encik Suris Mihat serta Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, YM Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Sementara itu bersesuaian dengan sasaran untuk menjadikan Pahang sebagai negeri pintar melalui penggunaan transaksi digital dalam semua urusan pembayaran, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata usaha yang dilakukan dengan kerjasama Agrobank ini membantu merealisasikan hasrat tersebut.
Menurutnya, Agrobank juga maklum telah melaksanakan inisiatif sama di sekitar Negeri Pahang antaranya Kampung Cashless Mukim, Ulu Tembeling, Jerantut dan Penjaja Cashless di Pelangai, Bentong.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Temerloh di atas usaha proaktif dan juga pihak Agrobank di atas kerjasama, tunjuk ajar dan bantuan. Saya harap ia berterusan dan akan dipanjangkan ke kawasan-kawasan lain.
“Masyarakat kena sesuaikan diri dengan sistem ‘cashless’ ini kerana ia sangat bagus dalam urusan seharian. Kita akan dapat mengatasi sebarang masalah ketirisan dan penyata kewangan urusniaga akan lebih telus dan jelas,” katanya. -PAHANGMEDIA

