Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 16 DISEMBER 2023 : Projek pembinaan Jalan Perhubungan Desa Orang Asli dari Pos Betau ke Pos Lejang di sini memberi keselesaan kepada ribuan penduduk di kawasan terlibat dan kawasan sekitar.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan infrastruktur asas Fasa 1 ini mengambil masa selama kira-kira tiga tahun dengan menelan belanja sebanyak RM15 juta.
“Projek jalan yang siap kini adalah dari Pos Betau ke Kampung Simoi dan Fasa 2 pula kini dalam pembinaan dengan jarak sama iaitu 15 kilometer dan menelan belanja sebanyak RM23.3 juta serta dijangka siap pada hujung tahun depan.
“Saya mahu ada perubahan demi keselesaan rakyat, keadaan sekarang kena lebih baik dari sebelumnya. Contohnya, dulu kita tak ada jambatan tapi sekarang dah ada jambatan Gahai, dulu jalan teruk sekarang jalan dah elok.
“Keadaan tidak boleh berterusan di takuk lama, tuntutan juga sudah semakin tinggi. Begitu juga dengan aspek pendidikan, dulu kawasan Orang Asli ada sekolah K9, sekarang dah ada K11,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Projek Membina Jalan Kampung Orang Asli dari Pos Betau ke Pos Lejang serta bertemu dengan Batin-Batin daerah Lipis, hari ini.
Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Ramli Mohd Noor, Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Lipis, Encik Wan Zuhaimie Wan Salleh dan Pengarah JAKOA Pahang, Encik Johari Alwi.
Menyentuh berkenaan kemajuan pendidikan di kawasan Orang Asli, beliau berkata Pengoperasian Sekolah Model Khas Komprehensif (K11) perlu dimanfaat sepenuhnya oleh golongan tersebut.
“Saya minta semua batin menekankan aspek pendidikan anak-anak di setiap perkampungan Orang Asli. Pastikan anak pergi sekolah, tak ada sebab kadar keciciran anak Orang Asli terus tinggi sebab kita dah sediakan sekolah sehingga ke Tingkatan 5.
“Saya tidak mahu ada di kalangan Orang Asli tercicir dalam pendidikan, kerana salah satu cara nak ubah kaum kita ke arah kemajuan adalah melalui pendidikan,” katanya. -PAHANGMEDIA

