Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 16 DISEMBER 2023 : Program Semarak
Perpaduan Masyarakat Makmur Kluster Agama mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan hubungan kemasyarakatan di negeri ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan berkata program ini juga sebagai penghargaan kepada pemimpin dan penduduk yang menjalankan kerja sukarelawan dan kerja kemasyarakatan.
“Matlamat program ini adalah bagi mengeratkan hubungan antara satu sama lain, memberi penghargaan kepada pemimpin dan penduduk yang bertungkus lumus menjalani kerja-kerja sukarelawan dan kerja-kerja kemasyarakatan serta membantu masyarakat dengan lebih dekat tentang pendedahan kesihatan diri dan bantuan kebajikan yang telah disediakan.
“Program sebegini amat signifikan sebagai usaha bersifat serampang dua mata, iaitu pertama; membantu masyarakat setempat menerusi pelaksanaan program khidmat komuniti secara berfokus, dan kedua; membentuk sahsiah penduduk menerusi ceramah keagamaan.
“Majlis ini juga turut melibatkan Makmur Medik, yang telah turun padang melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada masyarakat setempat di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Semarak Perpaduan Masyarakat Makmur Kluster Agama di Kampung Pasal hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, YBrs Puan Siti Nor Hasma Mat Isa; dan Ketua Unit Pembangunan Wanita dan Sosial, Puan Mazlina Mohamad Lazim.
Beliau berkata program ini jugak dapat mendedahkan penduduk bagi memahami budaya setempat sebagai bekalan di masa hadapan kepada golongan muda khususnya.
“Pelaksanaan majlis sebegini juga, sekaligus dapat mendedahkan penduduk dengan kemahiran memahami budaya setempat. Ini dapat membina cultural agility mereka, sekaligus berupaya memperteguh jati diri, sebagai pelindung ikatan kukuh masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita.
“Lebih-lebih lagi, penduduk Kampung Pasal yang bakal menjadi pemimpin, menjadi pencetus perubahan di masa akan datang apabila mereka menamatkan pengajian dan berkhidmat di dalam sektor kerajaan mahupun swasta.
“Oleh itu, usaha Kerajaan Negeri bukan sahaja untuk melahirkan modal insan, bahkan untuk melahirkan pemimpin yang budiman sifatnya, yang akrab jiwa dan raganya dengan nilai-nilai murni, yang norma dirinya suka mendampingi dan membantu komuniti,” katanya.
Beliau dalam majlis berkenaan turut menyampaikan sumbangan Pahang Pride Kid dan Bidadari Merah kepada penduduk kampung berkenaan.
Program yang bermula pada 8 pagi itu turut dipenuhi degan taklimat Hak dan Akta Orang Asli oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Pahang (JAKOA); senamaerobik; sukaneka; pemeriksaan kesihatan; ceramah agama; dan pameran. -PAHANGMEDIA