Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 DISEMBER 2023 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) berjaya merangkul Anugerah YAB Menteri Besar Pahang pada majlis Anugerah Pahang 1st (APF) 2023 di sini malam tadi.
MBK membawa pulang RM50,000 selain dua lagi anugerah iaitu tempat pertama Kategori Terbuka Anugerah Produktiviti, dan pingat platinum bagi Anugerah Pentadbiran Cemerlang (APEC) Pahang 1st 2023, masing-masing membawa pulang RM7,000 dan RM12,000 selain trofi dan sijil.
Hadiah disampaikan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis anjuran Kerajaan Negeri Pahang menerusi Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Pantai Timur dan Pahang Go.
Anugerah Pahang 1st yang bermula pada tahun lepas dilaksanakan sebagai pengiktirafan dan insentif kepada Jabatan Negeri, Agensi dan Badan Berkanun di Negeri Pahang melibatkan prestasi tadbir urus yang cemerlang.
Turut mendapat anugerah pada majlis berkenaan bagi Kategori Terbuka Anugerah Produktiviti, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang di tempat kedua; dan Majlis Daerah Lipis di tempat ketiga yang masing-masing membawa pulang RM5,000 dan RM3,000 serta trofi dan sijil.

Bagi kategori Anugerah Transformasi Digit, tempat pertama diterima oleh Majlis Ugama Islam Pahang; tempat kedua diterima Majlis Perbandaran Temerloh; dan tempat ketiga Majlis Perbandaran Bentong dengan kesemua mereka membawa pulang RM7,000, RM5,000, dan RM3,000 serta trofi dan sijil.
Manakala bagi Anugerah APEC, empat agensi menerima pingat emas yang membawa pulang RM7,000, trofi dan sijil iaitu Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang; Pejabat Daerah dan Tanah Lipis; Majlis Daerah Lipis; dan Majlis Perbandaran Temerloh.
Tujuh lagi agensi iaitu Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang; Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan; Majlis Bandaraya Kuantan; Majlis Daerah Cameron Highlands; Pahang Skills; Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS); dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang membawa pulang pingat platinum dengan hadiah RM12,000, trofi dan sijil bagi Anugerah APEC pada tahun ini.
Majlis ini turut menyaksikan lima anugerah khas melibatkan kutipan hasil di mana bagi Anugerah Kutipan Hasil Melebihi 100 Peratus Sasaran diperoleh Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Pahang; Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Lipis; PDT Jerantut; PDT Bera; PDT Bentong; PDT Raub; dan PDT Kuantan yang masing-masing membawa pulang RM30,000, trofi dan sijil.
Bagi Anugerah Kutipan Hasil Baharu Tertinggi yang membawa pulang RM30,000 diterima oleh Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Pahang (Unit Perancangan dan Perundingan) manakala bagi Anugerah Kutipan Tunggakan Hasil Tertinggi yang membawa pulang RM25,000 diperoleh Pejabat Daerah dan Tanah Lipis dan Pejabat Daerah dan Tanah Maran.
Tiga agensi masing-masing menerima Anugerah Transaksi Kaunter Kutipan Hasil Tanah Tertinggi Pada Hari Karnival Tanah Pahang 2023 yang membawa pulang RM15,000 diterima Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, dan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan.
Bagi Anugerah Transaksi Kutipan Hasil Secara Digital Tertinggi menyaksikan diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, dan Pejabat Daerah dan Tanah Bentong yang membawa pulang RM10,000.
Sebanyak 41 organisasi telah menyertai pencalonan Anugerah Pahang 1st pada tahun ini bagi kategori Anugerah Pentadbiran Cemerlang (APEC), Anugerah Produktiviti (AP) dan Anugerah Transformasi Digital (ADx) yang dinilai dari aspek kepimpinan dan prestasi melalui pelaksanaan strategi, maklumat, pelanggan, tenaga kerja dan proses yang efektif. -PAHANGMEDIA

