Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 14 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang telah bertemu dengan pihak penerbit sebuah anime Jepun terkenal, Jujutsu Kaisen bagi mendapatkan maklum balas bagi memanfaatkan populariti Kuantan selepas nama bandar raya itu disebut.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man berkata pertemuan pada Isnin lepas di Tokyo dilakukan oleh wakil Tourism Pahang, Dato’ Haji Shariman Hamdan bersama pihak Tourism Malaysia di Jepun.
“Pada Isnin lepas, wakil Toursism Pahang, Dato’ Shahriman telah berjumpa dengan pihak penerbit, dan pihak penerbit memerlukan tempoh satu minggu untuk berhubung dengan pihak pencipta untuk mendapatkan feedback.
“Jadi kita sedang dalam tempoh menunggu balasan dari pihak Jepun. Ini kerana hanya penerbit sahaja yang dapat berhubung secara terus dengan pencipta anime berkenaan.
“Setelah mendapatkan kebenaran, kita ada beberapa cadangan termasuk kebenaran daripada pihak pencipta, pantai mana, cadangan untuk memorial, dan cadangan untuk menjemput beliau melawat Pahang dan mengadakan event bersama peminat anime,” katanya.

Beliau berkata demikikan ketika ditemui pada Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster 4 kepada golongan pemandu pelancong dan malim gunung di daerah ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim; Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Wan Salman Wan Ismail; dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Encik Wan Eikmal Khalil.
Menurut beliau, perkara ini memberi kelebihan terhadap sektor pelancongan di negeri ini dan mampu menarik lebih ramai pelancong ke Pahang khususnya di bandaraya Kuantan.
Sebelum ini, lalu, watak dalam anime itu, Kento Nanami ada menyebut ingin melawat Kuantan di Malaysia iaitu pantai di Kuantan sebelum kematiannya pada episod 18 musim kedua.
Perkara ini turut menyebabkan kebangaan kepada warga Kuantan selain ada peminat yang berkongsi keindahan pantai-pantai yang terdapat di ibu negeri Pahang di media sosial masing-masing.
Sementara itu, menurut Encik Wan Eikmal, situasi ini dapat dijadikan titik jualan dalam menarik kehadiran pelancong di negeri ini memandangkan Industri pelancongan unik, dan berbeza berbanding industri lain. – PAHANGMEDIA

