Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri akan meningkatkan lagi kecekapan pengurusan pembangunan sektor perumahan terutamanya penyediaan rumah mampu milik kepada semua kategori rakyat demi kehidupan yang lebih selesa dan berkualiti.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara projek yang dijalankan ialah PRIMA Pahang di mana Kerajaan Negeri telah berjaya menyiapkan sebanyak 7,664 unit sehingga 30 November lalu dan telah mencapai sasaran untuk menyiapkan sekurang-kurangnya 7,000 unit rumah pada penghujung tahun 2023.
“Selain itu, bagi memenuhi keperluan rakyat berpendapatan sederhana rendah pula, sebanyak 28 projek Rumah Makmur Pahang melibatkan 7,804 unit telah diluluskan dan pelaksanaannya sedang giat diusahakan.
“Begitu juga dengan Rumah Rakyat Pahang (RRP), di mana sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2020 sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membina sebanyak 1,029 unit rumah dengan kos keseluruhan berjumlah RM75 juta.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu beliau menjelaskan sebanyak RM43 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di mana sebanyak 196 unit rumah dengan peruntukan berjumlah RM17.97 juta disediakan dalam Fasa 1 dan sebanyak 274 unit rumah dengan peruntukan berjumlah RM25.03 juta bagi Fasa 2.
“Selain itu, bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk menyiapkan rumah mampu milik berjumlah 4,342 unit melibatkan semua program perumahan. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan lebih banyak lagi perancangan perumahan yang bakal ditawarkan, seperti projek Rumah Mesra Pahang, Rumah Penjawat Awam Pahang dan Rumah Pahangku, yang mana akan memberi kepentingan terhadap rakyat yang kurang berkemampuan.
“Pada masa juga kita menitikberatkan aspek lokasi, kemudahan setempat serta kepentingan sosial dalam membantu menyediakan kediaman jangka masa panjang.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung yang sentiasa memberi fokus dan perhatian kepada keperluan pembangunan perumahan di Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

