Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 08 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah membolehkan perwakilan kuasa oleh Pihak Berkuasa Negeri kepada Pengarah Tanah dan Galian dan Pentadbir Tanah Daerah bagi kelulusan tukar syarat nyata tanah pertanian kurang daripada 4 hektar.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, perwakilan kuasa melalui YAB Menteri Besar pula diperlukan bagi tanah pertanian yang berkeluasan melebihi 4 hektar tetapi kurang daripada 40 hektar.
“Menjawab soalan tambahan Yang Berhormat Jengka mengenai, adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk membuat penurunan
kuasa kepada Pengarah Tanah dan Galian Pahang atau Pentadbir Tanah bagi kelulusan Tukar Syarat dan Pecah Sempadan Serentak di bawah Seksyen 124A Kanun Tanah Negara.
“Saya ingin jelaskan bahawa pada masa sekarang telah ada perwakilan kuasa oleh Pihak Berkuasa Negeri kepada Pengarah Tanah dan Galian dan Pentadbir Tanah Daerah bagi mempertimbangkan kelulusan tukar syarat nyata bagi tanah pertanian yang berkeluasan kurang daripada 4 hektar (10 ekar).
“Manakala perwakilan kuasa kepada YAB Menteri Besar bagi tanah pertanian yang berkeluasan melebihi 4 hektar (10 ekar) tetapi kurang daripada 40 hektar (100 ekar) yang mana telah memudahkan pertukaran syarat bagi tanah pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau lagi, pihak berkuasa Negeri Pahang juga telah mewakilkan kuasa kepada Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang bagi kelulusan tanah nil mulai 2020.
“Yang mana ini memudah dan mempercepatkan pemilik tanah untuk menukar syarat kegunaan tanah kepada pertanian, bangunan kediaman, komersial dan industri yang secara langsung membolehkan pemilik tanah membayar cukai tanah mengikut syarat baharu yang diluluskan.
“Malah, pada peringkat awal saya dilantik sebagai Menteri Besar, antara perkara pertama yang saya lakukan ialah menurunkan kuasa kepada Pegawai Daerah dan Pengarah Tanah dan Galian Pahang bagi mendapatkan kelulusan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan tanah bermula 1 Ogos 2018,” katanya.
Tambah beliau, keputusan perwakilan kuasa ini dibuat bagi memudahkan dan memendekkan tempoh urusan kepada rakyat Negeri Pahang.
“Keputusan ini dibuat bagi mengurangkan karenah birokrasi sambil menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri yang dapat memudahcara dan memendekkan tempoh bagi urusan-urusan berkenaan,” katanya. -PAHANGMEDIA

