Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan belanja sebanyak RM350,000 bagi keseluruhan pelaksanaaan Program Pemerkasaan Persatuan Belia Pahang (YES) Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata program ini telah diperkemaskan dan ditambahbaik daripada modul asalnya iaitu daripada Modul Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) Kementerian Belia dan Sukan.
“Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang serta Majlis Belia Negeri Pahang telah memperkemaskan modul pembangunan belia ini dengan pemerkasaan dan pembangunan kendiri serta jati diri, bagi meningkatkan keupayaan belia untuk bersaing serta berdikari pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang telah dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, YB. Mohamad Ayub Mat Ashri berhubung pelaksanaan program-program kepimpinan belia khususnya Program Persatuan Pemerkasaan Belia (YES) dan program-program Sukarelawan Anak Muda Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau lagi, program YES Pahang ini akan melalui tiga peringkat melibatkan 11 siri pelaksanaan dengan penglibatan daripada 330 peserta yang dijangka melahirkan pemimpin muda yang dinamik, matang serta boleh berdikari dalam menangani cabaran pada masa akan datang.
“Program YES Pahang ini akan melalui tiga peringkat, iaitu peringkat daerah (YES Pahang 1), peringkat zon (YES Pahang 2), dan peringkat 3 (YES Pahang 3). Pelaksanaan Program YES Pahang 1 akan dilaksanakan di setiap daerah yang melibatkan 11 siri pelaksanaan dengan penyertaan seramai 330 orang bakal pemimpin muda peserta berumur di antara 18 hingga 30 tahun.
“Manakala Program YES Pahang 2 pula melibatkan tiga zon (Zon Pahang Utara, Zon Pahang Tengah dan Zon Pahang Timur), dengan penyertaan seramai 120 orang peserta terpilih dan terbaik hasil daripada Program YES Pahang 1.
“Seterusnya di peringkat terakhir pelaksanaan, iaitu Program YES Pahang 3, ianya dilaksanakan di peringkat negeri yang akan melibatkan seramai 60 orang peserta yang terbaik daripada peringkat zon atau
daripada Program YES Pahang 2,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang juga memberi perhatian terhadap kecemerlangan akademik dan kemahiran bagi
memastikan atlet Pahang kekal relevan dalam pasaran kerja.
“Memorandum persefahaman telah ditandatangani dengan beberapa institusi pengajian tinggi bagi memberi ruang kepada atlet melanjutkan pengajian ke peringkat universiti mahupun pengajian kemahiran.
“Antara institusi yang telah bekerjasama ialah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah; Universiti Teknologi Mara, Jengka; Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah; Politeknik Muadzam Shah; Kolej Komuniti dan Kolej Poly Tech Mara,” katanya. -PAHANGMEDIA

