Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2023 : Pahang meletakkan sasaran khusus bagi merancakkan lagi sektor pelancongan negeri melalui empat landasan utama yang terangkum di bawah akronim T.E.M.U.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man berkata, empat perkara berkenaan ialah Task Force, Experience, Manage and Maintain serta Unite.
Keempat-empat perkara utama tersebut merangkumi pengurusan, perancangan promosi dan perlaksanaan semua perkara yang memenuhi sasaran untuk menyediakan lebih banyak aktiviti yang memberi pengalaman unik dan baru kepada pelancong.
“Sektor pelancongan di Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar menunjukkan prestasi yang membanggakan pada tahun ini dan memperoleh pelbagai pengiktirafan seperti purata kadar penginapan tertinggi di Malaysia, Cameron Highlands antara tempat paling cantik di dunia selain beberapa tindakan untuk menjadikan Lipis sebagai UNESCO Global Geopark.
“Peningkatan kehadiran pelancong pula mencatat angka memberangsangkan di mana sehingga bulan September tahun 2023, Negeri Pahang telah menerima kedatangan pelancong seramai 9.04 juta orang pelancong yang melawat Pahang. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2022 hanya 7 juta orang bagi tempoh sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, penganjuran acara terutama acara sukan (Pelancongan Sukan) membantu mengoptimumkan hubungan sinergi antara pelancongan dan keseluruhan spektrum sukan.
“Ia memaksimumkan faedah ekonomi di sepanjang nilai rantaian penduduk setempat, pengusaha pelancongan dan kerajaan negeri dan kita harap lebih banyak penganjuran berskala besar dan bertaraf antarabangsa dianjurkan nanti.
“Selain penganjuran acara, Kerajaan Negeri melalui Tourism Pahang turut menyertai eksposisi pelancongan dalam dan luar negara. Antara eksposisi pelancongan dan program luar negara yang telah disertai adalah di Negara UAE, Jerman, China, United Kingdom, Singapura dan Indonesia,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang di atas peruntukan sebanyak RM3 juta dalam Belanjawan 2024 bagi infrastruktur dan kemudahan pelancongan.
Sementara itu, YB Cik Leong Yu Man berkata usaha-usaha memupuk perpaduan diperhebatkan melalui 2,890 aktiviti perpaduan dilaksanakan bermula Januari hingga Oktober tahun melibatkan penyertaan 141,280 komuniti Rukun Tetangga di seluruh Negeri Pahang.
“Manakala 74 program penggalakan perpaduan peringkat negeri dan daerah yang melibatkan 5870 penglibatan masyarakat, belia, pelajar sekolah, mahasiswa, kanak -kanak, komuniti setempat, dan orang awam telah dilaksanakan bermula seawal Februari hingga November lalu.
“Bagi memastikan perpaduan di Negeri Pahang sentiasa terpelihara, pelantikan semula ahli-ahli Jawatankuasa Tindakan Perpaduan (PADU) bagi sesi 2023 – 2025 melibatkan keahlian jawatankuasa yang terdiri keahlian Ketua Jabatan/wakil Agensi dari pelbagai bidang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia, tokoh akademik dan agensi swasta,” katanya.
Selain itu beliau turut mengulas berkenaan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memartabat dan menyemarakkan kebudayaan sepanjang tahun ini antaranya program pengukuhan, pemantapan, pengembangan, penyelidikan,dokumentasi, pemerkasaan, kesedaran, pembangunan, pengukuhan jaringan kerjasama strategik dan sebagainya.
“Program yang diadakan juga telah dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negara menerusi kepelbagaian aktiviti berkaitan pelancongan budaya serta pengisian program kebudayaan yang menerapkan nilai budaya tinggi di kalangan masyarakat.
“Secara tidak langsung juga, program berkaitan dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman serta mengukuhkan jati diri masyarakat untuk lebih menghargai keunikan pelbagai budaya yang ada sekaligus membantu menyumbang kepada keharmonian dan pembangunan sosial di samping menjana ekonomi negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

