Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha menyediakan keselesaan hidup kepada rakyat termasuk pemberian rumah percuma kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rumah merupakan keperluan asas dan beliau sebelum ini melihat ramai yang memohon untuk memiliki rumah tapi tidak berupaya untuk membeli kerana menghadapi masalah seperti pinjaman bank.
“Apabila saya menjadi Menteri Besar dan pendapatan negeri semakin bertambah, saya perkenalkan Rumah Rakyat Pahang di mana bermula tahun 2020, sehingga sekarang dah ada empat fasa bermula dengan harga RM65,000 kita naikkan kepada RM75,000 ekoran kenaikan bahan-bahan binaan rumah.
“Pada peringkat awal satu buah rumah satu DUN, akhirnya sekarang ini setiap DUN dapat lapan buah rumah. Kerajaan Negeri akan memikirkan untuk meningkatkan pada masa akan datang, 1,029 unit rumah telah dibina secara percuma melibatkan kos hampir RM75 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu beliau turut menjawab soalan tambahan ADUN Tioman, YB Dato’ Sri Johari Hussain berkenaan permintaan rumah percuma di kawasan yang jauh dan lebih mencabar.
“Kerajaan Negeri maklum dengan sebarang pembinaan rumah di kawasan pulau atau tanah tinggi seperti Tioman, Cameron Highlands dan Ulu Tembeling yang memerlukan kos yang lebih.
“Ini telah dilaksanakan dalam rumah PPRT di mana harga ditingkatkan kerana kawasan agak jauh. Kita meneliti dan pertimbangkan setiap kes dan sekiranya ada kewajaran, Kerajaan Negeri tiada masalah untuk tambah kos,” katanya.
Sementara itu ADUN Jengka, YB Tuan Shahril Azman Abd Halim dalam sesi sama turut memuji dan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana terus konsisten dalam menyediakan kemudahan rumah percuma rakyat yang benar-benar memerlukan di negeri ini. – PAHANGMEDIA

