Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2023 : Sebanyak 31.8 peratus atau 9,073 orang penerima Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih telah memanfaatkan kemudahan berkenaan di klinik-klinik swasta terpilih di seluruh Pahang.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, kadar penggunaan tersebut adalah rendah berbanding jumlah keseluruhan penerima 30,600 orang disebabkan perluasan secara berperingkat.
“Pelbagai promosi dilakukan seperti hebahan di dalam media sosial (Facebook dan Instagram) serta aplikasi mudah alih (mobile apps) di mana penerima dapat mengetahui baki penggunaan kad tersebut.
“Selain itu, ADUN juga boleh memainkan peranan dalam penyampaian maklumat berkaitan program Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih berkenaan agar manfaat kad ini dapat dinikmati sepenuhnya oleh kumpulan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lanchang, YB. Tuan Hasan Omar pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih membabitkan penerima di kalangan warga emas dan bantuan orang kelainan upaya (OKU) tidak bekerja yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pesara KEMAS, JASA, SERANTA, bekas ketua kampung dan ketua kampung. – PAHANGMEDIA