Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2023 : Kerajaan giat melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan terperinci di setiap lapisan rantaian pengedaran makanan seperti peruncit bagi menjamin bekalan makanan tidak terputus dan disabotaj oleh pihak tertentu.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang berkata, pemeriksaan ini dibuat dengan mengemukakan Arahan Mengemukakan Maklumat / Dokumen barang kawalan supaya tiada elemen menyorok bekalan oleh pihak pemborong dan pengilang.
Menurutnya, kerajaan juga turut mengawal barangan subsidi supaya tidak digunakan dalam industri bagi memberi peluang golongan isi rumah menikmati manfaat subsidi oleh kerajaan.
“Memantau kedudukan bekalan barangan keperluan secara mingguan di premis yang dilantik sebagai peruncit terpilih peringkat daerah ‘Dedicated District Retailer’ (DDR), sebanyak lima pemis bagi setiap DUN telah dilantik.
“Kerajaan juga mengadakan sesi mesyuarat dan perjumpaan dengan pihak-pihak pengeluar, pemborong dan peruncit sebagai strategi untuk mendapat maklumat status bekalan di pasaran, KPDN juga menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi-agensi terlibat seperti Kawal Selia Padi dan Beras, Jabatan Veterinar dan FAMA bagi memastikan bekalan dan harga makanan khususnya yang melibatkan barang kawalan sentiasa mencukupi, tidak terjejas dan berada dalam kadar harga yang stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tras, YB. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Jelasnya, pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih agresif meliputi seluruh rantaian pengedaran dan pembekalan barangan dan perkhidmatan di seluruh Pahang turut dilaksanakan bagi meningkatkan operasi bersepadu dengan agensi berkaitan. – PAHANGMEDIA

