Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : “Jangan pernah menjadi pelangi untuk orang yang buta warna,” itu kata YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika ucapan penutup Belanjawan Pahang 2024 hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai seruan kepada rakyat di negeri ini untuk menanam rasa syukur dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Kerajaan Pahang.
“Sebagai rakyat Pahang, marilah kita tanam rasa kesyukuran tentang apa yang kita miliki dan kejayaan yang telah kita capai.
“Seikhlas apapun kita, sesayang dan secinta apapun kita dan sebesar apapun pengorbanan kita, tak akan berharga sedikit pun di hadapan orang yang tidak pernah bersyukur memilikinya. Jangan pernah menjadi pelangi untuk orang yang buta warna.
“Kalau dengan segelas air boleh menghilangkan dahaga, kenapa kita mahukan selaut!gelombang yang akan menenggelamkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau sebelum itu telah menyentuh berkenaan perjalanan realiti politik, sosial, dan ekonomi masa kini yang penuh cabaran namun Kerajaan Negeri Pahang mempunyai wawasan yang jelas untuk membawa negeri ini mencapai negeri maju.
“Demikianlah perancangan pembangunan dan perbelanjaan Kerajaan Negeri untuk tahun 2024. Sebelum saya menutup pembentangan belanjawan ini, saya ingin mengajak kita semua untuk merenung-renung masa hadapan, merenung-renung perjalanan kehidupan. Merenung-renung realiti politik, sosial dan ekonomi hari ini yang penuh cabaran.
“Kerajaan Negeri mempunyai wawasan yang jelas untuk mencapai tahap negeri maju. Berdasarkan prestasi tahun-tahun kebelakangan ini, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita capai, selagi kita berganding bahu. Banyak sama dilapah, sedikit sama dicicah, segulai sejalai mencari titik persamaan di sebalik perbezaan pendapat.
“Sudah tentu Kerajaan Negeri mempunyai strategi untuk mencapai visi dan misi serta melakukan penambahbaikan tadbir urus dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurut beliau, Belanjawan Pahang 2024 ini akan divisualkan dalam minda semua orang di negeri ini untuk dijadikan pendorong bagi mencapai kejayaan pada masa hadapan.
“Kita akan visualkan belanjawan ini dengan meningkatkan prestasi dalam kotak pemikiran pemimpin, penjawat awam selaku pelaksana dasar mahupun di kalangan rakyat kerana ianya mendorong untuk mencapai kejayaan.
“Insan yang berwawasan adalah bak pelita yang menyuluh kegelapan, bak guru yang menerangi kejahilan dan bak umarak yang mendorong kejayaan.
“Walaupun dalam persaingan politik, akan sentiasa ada pihak yang menuduh kononnya mereka dizalimi, mengamalkan politik menajamkan kebencian, menghasut rakyat dengan memainkan sentimen agama dan perkauman sempit, namun kita berharap akhirnya rakyat akan menilai prestasi bukan persepsi,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang memastikan pembangunan mampan terus dilaksanakan di negeri ini disamping membela kebajikan rakyat dan memastikan hasil negeri terus meningkat sejak lima tahun lepas.
“Hakikatnya, Kerajaan Perpaduan di negeri Pahang masih kekal berdiri teguh dan akan terus berkhidmat atas dasar kepercayaan, keikhlasan dan kebersamaan bagi memastikan Pahang terus melangkah dengan megahnya dan rakyatnya pula terus hidup dalam suasana yang harmoni, makmur dan sejahtera.
“Sejak 5 tahun lalu, kita bina negeri ini dengan penuh wawasan, dengan penuh keazaman dan dengan penuh semangat, bagi memastikan Pahang yang ada pada hari ini mencapai kejayaan yang luar biasa. Hasil negeri meningkat setiap tahun, pembangunan mampan terus dilaksana dan kebajikan rakyat terus dibela,” katanya. -PAHANGMEDIA