Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Kerajaan Paang menjenamakan semua Program Kebanggaan Pahang kepada Program Pahang Makmur yang merupakan satu lagi inisiatif kebajikan untuk rakyat negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat enam program yang melibatkan pelbagai peringkat penerima digariskan di bawah program Pahang Makmur ini iaitu Permata Makmur, Tunas Makmur, Pahang Makmur Orang Asli, Atlet Makmur, Kasih Makmur, dan Aspirasi Makmur.
“Permata Makmur (Pahang Pride Kid) iaitu pemberian sebanyak RM300 kepada 25,000 bayi baru lahir pada tahun 2024 dengan setiap kelahiran akan menerima barangan bayi bernilai RM50 dan Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM250 yang akan dikreditkan secara berfasa dengan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.5 juta.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan program Tunas Makmur (Pahang Pride Student) pada tahun hadapan. Malahan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama MBS Bookstore akan memperluaskan penerima Kad Diskaun 20 peratus kepada ibu bapa yang mempunyai anak di tadika atau taska dan semua guru yang mengajar di semua tadika atau taska, sekolah rendah dan sekolah menengah. Ini akan memberi manfaat kepada 341,648 pelajar dan lebih 25,000 guru yang menabur bakti di negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta untuk pemberian set bantuan pembukaan sekolah kepada pelajar kategori miskin tegar. Ini sudah semestinya akan menambah keceriaan 61,982 pelajar dalam kategori tersebut yang akan memulakan persekolahan pada bulan Mac 2024 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambah beliau, menerusi Pahang Makmur Orang Asli (Pahang Pride Orang Asli), Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian komputer riba kepada pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian.
“…berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Kolej Komuniti dan Politeknik dengan peruntukan sebanyak RM750,000.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan insentif Atlet Makmur (Pahang Pride Athlete) sebagai penghargaan kepada setiap atlet yang telah mengharumkan negeri Pahang. Untuk itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan sumbangan secara one-off RM300 kepada seramai 1,000 orang atlet yang layak dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM300,000,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang juga akan meneruskan pelaksanaan kad kesihatan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang berkelayakan di negeri ini selain saguhati kepada anak Pahang yang mengharumkan nama negara dan negeri.
“Menerusi inisiatif Kasih Makmur (Pahang Pride Kasih), Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan kad kesihatan kepada seramai 31,600 orang warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang berkelayakan dan bersesuaian meliputi seramai 21,000 orang penerima bantuan daripada JKM dan seramai 250 orang dari setiap 42 kawasan Dewan Negeri melibatkan peruntukan sebanyak RM16.8 juta.
“Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi saguhati kepada anak Pahang yang telah mencatat pencapaian luar biasa dan mengharumkan nama negara dan negeri di peringkat antarabangsa menerusi insentif Aspirasi Makmur (Pahang Pride Achiever).
“Sebagai contoh, pada tahun ini, insentif ini diberikan kepada atlet Pelayaran Wanita Negara, Nur Shazrin Mohamad Latif yang memenangi pingat emas pertama negara dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 pada bulan September lepas,” katanya. -PAHANGMEDIA