Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang peruntukan RM6.57 juta bagi pembangunan sukan dan anak muda di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana Kerajaan Negeri sentiasa menitikberat aspek pembangunan sukan dan mengambil berat terhadap keperluan kemudahan sukan di negeri Pahang.
“Penyediaan kemudahan sukan untuk kegunaan latihan dan persiapan para atlet sebelum menyertai kejohanan dan juga untuk menggalakkan penglibatan generasi muda dalam aktiviti-aktiviti kesukanan tidak pernah dipinggirkan selama ini.
“Lantas untuk tahun 2024, Kerajaan Negeri akan menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan Majlis Sukan Pahang melibatkan arena lapang sasar menembak, asrama, gelanggang terbuka, gimnasium dan bangunan pejabat dengan peruntukan sebanyak RM1.65 juta.
“Pada tahun 2024, Sukan Malaysia (SUKMA) akan diadakan di Sarawak. Kerajaan Negeri sudah tentu mengambil berat akan aspek pembangunan sukan sebagai persediaan untuk menghadapi SUKMA 2024. Maka bagi memastikan program latihan serta persediaan atlet dapat diperkemaskan, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan bantuan sebanyak RM2 juta kepada Kontinjen SUKMA Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata enam inisiatif dan program juga akan dilaksanakan sebagai usaha mengiktiraf dan menggalakkan penglibatan rakyat di negeri ini dalam bidang sukan
“Manakala melalui penglibatan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, beberapa inisiatif dan program akan dilaksanakan dalam usaha untuk mengiktiraf serta menggalakkan penglibatan rakyat negeri Pahang dalam bidang sukan dan aktiviti belia sebagaimana dinyatakan berikut, pertama, program Persatuan Pemerkasaan Belia (YES) Dan Bengkel Pemurnian Modul YES Negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM350,000; kedua, Anugerah Perdana Belia Negara dan Pengurniaan Anugerah Diraja Negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM200,000; ketiga, penganjuran Hari Belia Pahang melibatkan peruntukan sebanyak RM400,000.
“Keempat, penganjuran Hari Sukan Pahang dengan peruntukan berjumlah RM300,000; kelima, Majlis Anugerah Persatuan dan Badan-Badan Sukan Massa Negeri Pahang yang diadakan dengan tujuan memberi pengiktirafan kepada persatuan dan badan- badan sukan yang cemerlang dengan peruntukan sebanyak RM150,000; dan keenam, program Sukarelawan Anak Muda Pahang dengan peruntukan sebanyak RM220,000.
“Kerajaan Negeri juga akan memberikan sumbangan kepada Majlis Belia Negeri Pahang bagi tujuan pengurusan aktiviti dan latihan belia melibatkan peruntukan sebanyak RM750,000,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga memberi peruntukan bagi pelaksanaan program kepimpinan belia di setiap daerah selain meraikan minat anak muda di dalam arena permotoran di negeri ini.
“Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM250,000 bagi pelaksanaan program-program kepimpinan belia melibatkan pelaksanaan Program Dewan Belia Pahang, pembangunan Sekolah Kepimpinan Tun Abdul Razak dan pewujudan Penggerak Belia Kepada YAB Menteri Besar Pahang di setiap daerah.
“Kerajaan Negeri juga akan mengadakan Himpunan Permotoran Anak Muda Pahang pada tahun 2024 dengan hasrat murni menghimpunkan anak muda di seluruh negara yang terlibat di dalam permotoran di negeri Pahang melalui peruntukan sebanyak RM300,000,” katanya. -PAHANGMEDIA