Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 1 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Pahang mengalu-alukan kerjasama dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bagi memanfaatkan banyak tanah-tanah milik kerajaan khususnya di Daerah Rompin.
Sehingga kini, perusahaan kenaf dan tembakau di Pahang yang dilaksanakan oleh LKTN hanya dijalankan di dua daerah iaitu Pekan dan Rompin.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, usahama ini bukan sahaja dapat memberi kebaikan kepada pihak kerajaan tetapi dapat membuka peluang pekerjaan kepad penduduk setempat termasuklah masyarakat Orang Asli.
“Saya juga mengalu-alukan pihak kenaf (LKTN) untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang, kerana Pahang ini terutama sekali di Rompin banyak lagi tanah-tanah kerajaan yang kita boleh usahakan dan kembangkan tanah-tanah ini, lebih-lebih lagi di kawasan Tebu Hitam kita ada kilang kenaf.
“Jadi saya haraplah pihak kenaf dapat melihat dan berbincang dengan Kerajaan Negeri bagaimana kita hendak kembangkan industri kenaf khususnya di Daerah Rompin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sumbangan Tunai Rahmah pada Hari Bertemu Pelanggan dan Program Penyerahan Sumbangan Tunai Rahmah Tabung Kebajikan Industri Kenaf dan Tembakau (TKIKT) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Rompin di Rompin, pagi tadi.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah LKTN Malaysia, YBrs Tuan Haji Wan Baharuddin Wan Ismail, Pengerusi LKTN, YH Dato’ Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Pengarah LKTN Negeri Pahang, YBrs Encik Muhammad Zulkifli Shaari.
Pada majlis itu, seramai 469 pencarum TKIKT dari Pahang telah menerima sumbangan Tunai Rahmah TKIKT dengan jumlah keseluruhan RM140,700.
Menurut Ketua Pengarah LKTN Malaysia, YBrs Tuan Haji Wan Baharuddin Wan Ismail, terdapat 881 pencarum TKIKT di seluruh Malaysia di mana seramai 150 pencarum telah menerima bantuan berjumlah RM50,000 pada tahun 2023 menerusi tabung itu.
Pada majlis sama, turut diadakan Hari Bertemu Pelanggan LKTN bagi mendekati masyarakat serta memperkenalkan industri kenaf dan tembakau melalui hebahan dan pameran yang diadakan.
Turut diadakan ialah pembukaan kaunter aduan, kaunter pendaftaran, pemeriksaan kesihatan dan Jualan Rahmah kepada orang ramai. – PAHANGMEDIA

