Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 1 DISEMBER 2023: “Saya bersyukur dapat bantuan RM100, boleh bantu banyak dalam pelajaran saya, saya boleh beli alat tulis untuk persediaan menghadapi SPM.”
Itu luah seorang pelajar yang menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster SPM dan STPM, Liaw Zi Jing, 17, ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bantuan Prihatin Pahang Kluster SPM dan STPM Peringkat Daerah Raub Tahun 2023 di Dewan Jubli Perak, di sini semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Ching itu berkata, beliau berterima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Pahang di atas bantuan tunai yang diberikan ini.
Sementara itu, bagi Akashleen Kaur Sanghera Amanpal Singh, 17, beliau amat teruja kerana bantuan tunai yang diterima boleh disimpan untuk kegunaan masa hadapan.
“Saya nak simpan, kalau boleh nak masukkan dalam bank. Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana bagi bantuan tunai kepada kami,” katanya yang bersekolah di SMK (P) Methodist Raub.
Bagi penerima lain iaitu Muhamad Izzuddin Najwan Zainal Abidin iaitu pelajar dari SMK Dong, bantuan tunai tersebut akan digunakan untuk membeli kelengkapan buku dan alat tulis untuk pembelajarannya.
“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang sebab bagi saya duit untuk buat belanja,” ujarnya gembira.
Seramai 645 orang pelajar telah menerima bantuan tunai sebanyak RM100 setiap seorang melibatkan empat buah sekolah di sekitar Raub iaitu SMK Dong, SMK (P) Methodist Raub, SMK Chung Ching dan SMK Mahmud.
Kesemua bantuan disampaikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal . – PAHANGMEDIA