Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 1 DISEMBER 2023: Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan RM80,000 bagi melaksanakan Program Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli di daerah Raub.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli di Pahang.

“Memang di Pahang ini menjadi amalan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail akan serah (bakul makanan) kepada semua ketua keluarga Orang Asli di seluruh Pahang sebagai tanda ingatan kepada penduduk Orang Asli di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Bakul Makanan Kepada Ketua Isi Rumah (KIR) Masyarakat Orang Asli Daerah Raub sempena Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Tahun 2023 di beberapa buah kampung di sekitar daerah Raub, sini semalam.
Ujarnya lagi, Bantuan Bakul Makanan tersebut dilihat sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat Orang Asli memandangkan keadaan ekonomi yang agak mencabar masa kini.

“Sambutan yang cukup baik dan sangat dihargai oleh penduduk Orang Asli di semua kampung yang saya pergi, maklumlah sekarang kos sara hidup yang makin meningkat jadi bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka dan rata-rata yang saya jumpa tadi gembira,” katanya.
Kesemua bantuan tersebut diedarkan di 21 buah kampung Orang Asli di sekitar daerah Raub termasuklah Kampung Sungai Pasu, Kampung Sungai Ruyung, Kampung Sungai Susup, Kampung Sungai Yol, Kampung Sungai Chandan dan Kampung Sungai Bilut yang melibatkan lebih 1,000 penerima.
Terdahulu, beliau telah melancarkan Majlis Pelepasan Bantuan Bakul Makanan Kepada KIR Masyarakat Orang Asli Daerah Raub di Dewan Simpang Kallang sebelum turun padang untuk menyampaikan sendiri bantuan tersebut di enam buah kampung Orang Asli. – PAHANGMEDIA

