Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 30 NOVEMBER 2023: Pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sama ada dalam bidang akademik mahu pun kemahiran.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, para pelajar perlu berfikiran lebih jauh dan memikirkan masa hadapan mereka supaya tidak menyesal di kemudian hari.

“Belajar ini tidak semestinya di universiti, kalau mereka kurang sikit dari segi pencapaian akademik, boleh fokus pada belajar di institut kemahiran, itu pun belajar juga, yang peting mereka belajar ada kelulusan ada sijil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster SPM dan STPM Peringkat Daerah Raub di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YB Dato’ Abdul Aziz Mat Kiram; Ketua Penolong Pegawai (Pembangunan) Daerah Raub, Encik Khairul Fahmi Yusof; serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Raub, Encik Khairul Kahar Abdul Rahman.
Jelasnya, Kerajaan Negeri Pahang memandang serius mengenai situasi di mana para pelajar lepasan SPM tidak berminat untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya walaupun mendapat keputusan peperiksaan yang baik, malahan mereka lebih berminat untuk bekerja.

“Senario ini berlaku di seluruh negara dan Pahang tidak terkecuali, saya difahamkan Kementerian Pendidikan tengah buat kajian punca perkara ini berlaku dan harap dapat dikongsi dengan kita di Pahang ini sebab (ianya) satu keadaan yang merisaukan kita.
“Untuk jangka masa panjang bila mereka terpaksa membeli rumah, berkeluarga nanti, tanggungjawab nanti lebih besar, masa itu saya takut mereka baru sedar mereka buat keputusan yang salah untuk tidak sambung belajar,” katanya.
Dalam majlis sama, beliau juga turut berkongsi dan memberi pendedahan tentang inisiatif dan pencapaian Kerajaan Negeri Pahang kepada para pelajar termasuklah mengenai kluster-kluster BPP yang lain serta kedudukan ekonomi Pahang supaya pelajar lebih cakna dan dipupuk dengan sifat ambil tahu. – PAHANGMEDIA

