Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 28 NOVEMBER 2023 : “Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang kerana membantu rakyat,” itu ujar Puan Laisah Mat Isa salah seorang penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Petani Daerah Raub.
Puan Laisah, 70, dari Kampung Ria Semantan yang merupakan pengusaha kelapa matag dan durian turut melahirkan perasaan gembira dengan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada golongan petani.

“Saya tanam kelapa matag dah lima tahun. Saya tanam kira-kira 500 pokok dekat dua tempat. Saya ada dapat bantuan daripada kerajaan, dia bagi baja. Hari ini dapat bantuan daripada Kerajaan Pahang, saya rasa gembira.
“Saya juga ada tanam durian kira-kira 2 ekar, saya tanam (jenis) IOI, D2, dan D24. Saya rancang nak guna bantuan ini untuk beli barang pertanian,” katanya.
Sementara itu, Encik B. Sutakar, 39, dari Kampung Cheroh yang merupakan petani sayur turut melahirkan rasa gembira dengan pemberian bantuan ini.

“Memang seronok dan terima kasih sangatlah dengan YB. Fadzli dan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy kerana sudi beri bantuan.
“Bolehlah saya guna untuk beli benih dan pakai untuk kebun sikit-sikit,” katanya yang menanam kacang panjang, terung, bendi, serta labu di atas tanah seluas dua hektar dan dipasarkan ke kawasan sekitar sejak lapan tahun lepas.

Bagi penternak ikan tilapia di Ulu Dong, Encik Mohammad Safiq Dahalan, 29, turut melahirkan rasa gembira dengan bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang kepada petani dan penternak di negeri ini.
“Rasa gembira sebab ada bantuan untuk petani semua. Saya ucapkan terima kasih untuk Kerajaan Negeri Pahang dan juga YB. Fadzli sebab bagi bantuan (BPP Kluster Petani) ini,” katanya.
Seramai 161 penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Petani di daerah Raub yang disampaikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal di Dewan Jubli Raub hari ini. -PAHANGMEDIA

