Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2023: Lebih 5,000 orang anak muda dan belia di seluruh Pahang telah menyertai Program Anak Muda Pahang Sayang Bumi anjuran Yayasan Pahang (YP) dan Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS) sejak program tersebut dilaksanakan pada 20 Oktober yang lalu.
Exco Komunikasi, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, program itu bertujuan untuk memupuk kesedaran terhadap anak muda khususnya mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan kebersihan di kawasan persekitaran mereka.

“Kesedaran ini penting kerana alam ini nanti kita akan wariskan kepada generasi yang akan datang, jadi amat penting mereka sedar dan faham serta menginsafi peranan yang harus mereka mainkan, kita nak melahirkan generasi yang sentiasa mengutamakan kebersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Anak Muda Pahang Sayang Bumi Peringkat Negeri Pahang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Kampung Anak Air Tanjung Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengurus Capaian Pendidikan (Operasi) Yayasan Pahang, Puan Nor Azean Othman; Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Pahang (SWCorp), Encik Sharudin Hamid; serta Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Nor Aliff Yaakob.
Antara pihak yang turut bekerjasama dalam pelaksanaan program ini ialah Majlis Belia Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan, SWCorp Malaysia, Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Majlis Tindakan Sosial Pahang, serta Pejabat Perhutanan Negeri Pahang.
Beliau yang turut menyertai program sama sebelum ini di Raub berkata, anak-anak muda perlu faham tentang peri penting menjaga kelestarian alam sekitar dan perlu bermula daripada sekarang untuk mengelakkan kesan buruk yang boleh berlaku pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau berharap program yang memberi impak besar tersebut dijadikan acara tahunan dan Kerajaan Negeri Pahang melalui YP akan membantu memperkemaskan lagi inisiatif ini melihat kepada potensi penganjuran program ini.
Aktiviti seperti mengindahkan dan pembersihan kawasan dan penanaman 400 anak pokok merupakan antara aktiviti yang dilaksanakan serta acara mewarna untuk kanak-kanak yang menjadi nilai tambah untuk menarik lebih ramai penyertaan. – PAHANGMEDIA

