Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2023: Walaupun cuaca hujan, penyertaan memberangsangkan bagi acara Fun Ride dan Fun Run hari ini membuktikan bahawa rakyat Negeri Pahang amat aktif dalam aktiviti sukan dan riadah.
Exco Komunikasi, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, walaupun cuaca tidak begitu mengizinkan, ianya tidak menjadi penghalang bagi rakyat di negeri ini untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sihat seumpama itu.
“Ramai yang sanggup berhujan, ini menunjukkan minat dan kesedaran untuk bersukan di kalangan rakyat Negeri Pahang makin tinggi dan mereka kental walaupun hujan sanggup berbasikal dan berlari (sejauh lima kilometer).

“Saya gembira melihat keadaan tersebut dan momentum itu berterusan walaupun kemungkinan akan terdapat kekangan buat sementara waktu akibat faktor cuaca,” katanya ketika hadir pada Program Fun Ride dan Fun Run yang merupakan sebahagian daripada acara sempena Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur di Stadium Darul Makmur, di sini hari ini.
Jelasnya lagi, selain daripada Program Fit Malaysia atau Fit Pahang Hari Sukan Negara, aktiviti sukan seumpama ini sentiasa diadakan hampir setiap bulan di seluruh Negeri Pahang.
“Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda yang di-Pertuan Agong pada malam ini membuktikan Tuanku begitu cakna terhadap pembangunan dan kemajuan sukan di negeri ini, saya rasa itu satu mesej yang cukup penting pada seluruh rakyat,” ujarnya.
Kira-kira 200 orang peserta yang mengambil bahagian dalam Program Fun Ride dan Fun Run tersebut di mana peserta Fun Ride berbasikal sejauh 35 kilometer manakala peserta Fun Run berlari sejauh lima kilometer. – PAHANGMEDIA

