Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 24 NOVEMBER 2023 : Seramai 430 penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Petani di daerah ini yang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM86,000.
Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli yang merupakan wakil rasmi Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata kesemua penerima ini merupakan individu yang terlibat dalam sektor pertanian, ternakan, dan perikanan.
“Daripada jumlah 430 orang, seramai 105 orang terlibat dalam sektor tanaman; 313 orang dalam sektor perikanan; dan 12 orang dalam sektor ternakan.

“Senarai nama yang terplilib adalah berdasarkan senarai pengusaha dan petani yang dikemukakan oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Vaterinar, dan juga Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.
“Semua penerima merupakan pengusaha dan petani yang berdaftar dengan jabatan, kategori B40, dan anak kelahiran Negeri Pahang,” katanya.
Turut hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Petani 2023 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah adalah Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Seri Haji Sh. Puzi Sh. Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Mohd. Sharim Md. Zain; Pegawai Pertanian Daerah Pekan, YBrs. Encik Abdul Halim Jamaludin; dan Pegawai Jabatan Perikanan Daerah Pekan, Encik Amir Firdaus Mohd Nasir.
Menurut beliau, bantuan ini merupakan tanda keperihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu masalah rakyat dj negeri ini.

“Kerajaan sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan. Walau bagaimanapun, rakyat perlu juga berusaha untuk merubah status diri ke arah berdikari, tidak bersikap pasif dan hanya bergantung kepada bantuan kebajikan semata-mata.
“Sama-samalah kita membantu kerajaan dalam mengatasi masalah isu-isu keterjaminan makanan. Bila kita bercakap berkaitan dengan kecukupan makanan, keperluan asas semua penduduk Malaysia, tuan-tuan dan puan-puan adalah merupakan sebahagian tunjang barisan hadapan dalam memastikan keperluan makanan negara terjamin.
“Selain peranan kerajaan dalam membantu masalah rakyat, peranan tuan-tuan dan puan-puan juga sangat penting bagi memastikan keterjaminan makanan negara,” katanya.
BPP Kluster Petani yang merupakan salah satu daripada 29 bantuan yang diperuntukan bagi tahun ini diberikan bagi meringankan beban para petani di negeri ini. -PAHANGMEDIA

