Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 15 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Pahang terus komited dalam menambah baik keperluan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua usaha pelaksanaan dan penambahbaikan tersebut adalah demi keselesaan mangsa-mangsa banjir kelak.
“Kita tidak pernah berpuas hati kerana kita rasakan ada lagi kaedah untuk peningkatan (persediaan MTL) sebab itu daripada PPS kita buat kepada pusat pemindahan kekal ataupun tetap seperti mana yang diluluskan TPM sebanyak RM5 juta,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Sri Mentakab, semalam.
Beliau turut menghargai keprihatinan YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Bencana Peringkat Persekutuan terhadap isu bencana banjir di Negeri Pahang khususnya.
“Beliau (TPM) merasakan RM3.3 juta itu masih ada lagi ruang-ruang yang tidak dapat dilengkapi, jadi dengan pertambahan sebanyak RM1.7 juta ini menjadikan pusat pemindahan kekal itu menjadi lebih selesa untuk mangsa-mangsa banjir berpindah.
“RM3.3 juta cuma ‘minimum requirement’ untuk pusat pemindahan kekal, ini jelas menunjukkan kita sangat cakna dengan mangsa-mangsa banjir yang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat bencana banjir,” ulasnya.
Ujarnya lagi, selain daripada pengurusan yang cekap terhadap mangsa-mangsa banjir, Temerloh juga antara kawasan yang diangkat sebagai daerah terbaik dalam menangani permasalahan banjir di daerah tersebut termasuklah kaedah penyediaan makanan yang baik di PPS.
“Mereka (mangsa banjir) dapat merasakan kesungguhan pihak daerah dan negeri supaya pemindahan mereka itu tidak terasa tertekan dan sebagainya, memandangkan rumah mereka dilanda banjir dan mereka terpaksa duduk beramai-ramai,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi berkepentingan akan sentiasa memantau dan menambahbaik proses persediaan pelan jangka masa pendek dari semasa ke semasa, termasuk keperluan logistik.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar kesemua mangsa banjir kelak akan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya terdapat keperluan untuk berpindah ke PPS seterusnya tidak sewenang-wenangnya pulang ke rumah tanpa kebenaran pihak berwajib untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. – PAHANGMEDIA

