Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 13 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada SJKC Kemayan pada kutipan Makan Malam Amal sekolah berkenaan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sumbangan berkenaan diberikan bagi mengumpul dana bagi pembangunan sekolah.
“Saya difahamkan, tujuan Makan Malam Amal ini adalah untuk mengumpul dana bagi menaik taraf bilik darjah pintar dan kemudahan perisian dan perkakas sekolah.
“Jamuan pada malam ini, dianggarkan 150 meja yang dihadiri oleh para dermawan, bekas-bekas pelajar SJK (C) Kemayan dan juga penduduk bandar Kemayan.
“Saya difahmakan, SJK (C) Kemayan mempunyai 13 buah kelas, termasuk satu kelas pra-sekolah dengan 319 orang murid, termasuk 25 orang murid para-sekolah, serta 25 orang guru dan kakitangan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jamuan Sempena Ulang Tahun Ke-85 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kemayan, di Dewan SJK (C) Kemayan, Bera.
Turut hadir, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, YB. Dato Sabariah Saidan; Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang yang juga ADUN Triang, YB.
Leong Yu Man; dan ADUN Kemayan, YB. Encik Khaizulnizam Mohamad Zuldin;
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberi galakan dan bantuan kepada para pelajar di negeri ini terutamanya di dalam bidang pendidikan.
“Masuk Darjah 1 kita bagi RM100, begitu juga kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM, STPM dan pelajar tahfiz.
“Untuk tujuan tersebut, Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak lebih kurang RM15 juta untuk Bantuan Prihatin Pahang daripada segi pendidikan sahaja untuk seluruh Negeri Pahang.
“Bagi anak yang masuk universiti, Kerajaan Negeri Pahang akan bagi RM300 dan pada tahun hadapan Kerajaan Negeri akan naikkan lagi kepada RM400 kepada anak-anak kita yang belajar di universiti,” katanya.
Beliau turut melahirkan perasaan bangga dengan usaha pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam usaha mengumpulkan dana bagi kegunaan sekolah.
“Saya harap majlis pada hari ini dapat mengumpulkan dana untuk anak-anak kita dan saya sangat berbangga kerana sekolah dan PIBG sendiri berusaha untuk mendapatkan dana.
“Bermakna mereka tidak semata-mata bergantung kepada peruntukan daripada Kerajaan dan saya dapati semangat ibu bapa di sini sangat tinggi.
“Kita di Pahang ini hidup aman-damai, harmoni, tak ada gaduh-gaduh. Kita jaga anak kita, hidup sama kaum dan yang penting Negeri Pahang, Malaysia, kita harus bangunkan supaya terkenal di seluruh dunia,” katanya. -PAHANGMEDIA

