Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
PEKAN, 11 OKTOBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang bercadang untuk mengadakan perjanjian bersama penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi memastikan tujuan pemberian rumah ini tercapai.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata perjanjian ini bagi memastikan penerima rumah tidak menyalahgunakan rumah yang diterima secara percuma ini.
“Kita tak ingin melihat rumah-rumah yang diterima ini disalahgunakan, kadang-kadang untuk mendapatkan duit yang cepat, mungkin mereka bertindak untuk menjual rumah kepada orang lain dan saya berharap rumah ini tidak dijualkan kepada pihak lain.

“Saya juga akan cuba memberitahu kepada pihak Kerajaan supaya mengadakan perjanjian antara penerima-penerima (rumah RRP) ini supaya rumah ini tidak dapat disalahgunakan.
“Mungkin kelulusan itu kita boleh tarik balik kalau rumah ini dijual kepada orang lain. Ini antara penambahbaikan yang saya rasa perlu dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan kunci rumah RRP dan Kad Pahang Pride Kasih kepada penerima di Kampung Tanjung Batu hari ini yang turut dihadiri Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.
Beliau berkata perjanjian ini juga bagi memastikan hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk membantu rakyat miskin yang tidak mempunyai rumah tercapai.
“…kita nak rumah ini menepati sasaran dia pada orang yang betul-betul perlu rumah, dia mesti duduk rumah itu. Jangan ambil jalan pintas untuk jual,” katanya.
Sebanyak empat buah Rumah Rakyat Pahang disampaikan kepada penerima Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar melibatkan Kampung Serun, Kampung Landai, Kampung Sepauk Nenasi, dan Kampung Tanjung Batu hari ini. -PAHANGMEDIA

