Oleh : Fara Rosli
KUANTAN, 10 NOVEMBER 2023 : Pengamalan gaya hidup tidak sihat telah mengakibatkan situasi Penyakit Tidak Berjangkit atau Non Communicable Disease (NCD) dalam keadaan membimbangkan sekali gus membawa kepada peningkatan kadar kematian di negara ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, berdasarkan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi di Malaysia, Pahang merekodkan sebanyak 47.6 peratus kadar peratusan orang dewasa yang mempunyai berat badan berlebihan.
Justeru itu, ketika merasmikan Karnival Kekal Sihat COMBI dan KOSPEN Peringkat Daerah Pekan semalam, beliau menyarankan supaya setiap kampung di Pahang dapat menubuhkan Jawatankuasa Kesihatan sendiri melalui JKKK bertujuan untuk memberi pendedahan berhubung kesihatan.

“Jawatankuasa Kesihatan JKKK ini akan memberi pendedahan untuk meningkatkan tahap kesihatan penduduk kampung dengan melakukan aktiviti kesihatan seperti senamrobik, kebersihan, saringan kesihatan, kawalan denggi, penyampaian maklumat kesihatan dan lain-lain,” katanya.
Tambah beliau lagi, usaha ini akan memudahkan penduduk untuk mendapat pendedahan kesihatan sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar pesakit di hospital kerajaan.
Kerajaan Pahang juga komited dalam mendukung usaha Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam usaha memperkasa komuniti melalui ejen kesihatan termasuklah memberikan peruntukan untuk melaksanakan Karnival Kekal Sihat.
“Selaku Exco Kesihatan, saya berharap karnival ini dapat meningkatkan lagi kesedaran rakyat Pahang mengubah tingkah laku tidak sihat kepada amalan gaya hidup lebih sihat melalui pembudayaan hidup serta kelestarian persekitaran yang menjadikan kesihatan sebagai keutamaan, terima kasih semua sukarelawan COMBI dan KOSPEN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya Karnival COMBI dan KOSPEN perlu dilaksanakan di seluruh daerah dalam negeri Pahang bermula tahun hadapan. – PAHANGMEDIA

