Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 08 NOVEMBER 2023 : Pahang merekodkan kadar purata tempoh penginapan tertinggi di Malaysia dengan 73 peratus iaitu lebih dari 36,000 bilik penginapan berdaftar.
Menurut satu kenyataan media oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man melalui Tourism Pahang, tempoh ini direkodkan dari Januari hingga Jun tahun ini oleh Bahagian Perancangan Strategik Tourism Malaysia.
“Data diperolehi menunjukkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di kedudukan kedua dengan purata 57.3 peratus; Wilayah Persekutuan Putrajaya di kedudukan ketiga dengan purata 54 peratus; kedudukan keempat ialah Negeri Pulau Pinang dengan purata 49.2 peratus; disusuli kedudukan kelima dan keenam iaitu Negeri Johor dan Negeri Selangor iaitu masing-masing dengan purata 47.5 peratus dan 47.1 peratus.

“Kadar purata tempoh penginapan yang tertinggi di Malaysia yang dicatatkan oleh Negeri Pahang menunjukkan respon positif peningkatan kedatangan pelancong ke Negeri Pahang.
“Sehingga September tahun ini kedatangan pelancongan domestik dan antarabangsa mencatatkan sebanyak 9.04 juta orang pelancong,” katanya.
Menurut beliau lagi, terdapat lima daerah di negeri ini yang menunjukkan jumlah memberangsangkan bagi kedatangan pelancong pada tahun ini.
“Lima daerah di Negeri Pahang menunjukkan jumlah kedatangan pelancong yang memberangsangkan iaitu Bentong, Kuantan, Cameron Highlands, Temerloh dan Rompin.
“Destinasi-destinasi pelancongan seperti Genting Highlands, Pulau Tioman, Cameron Highlands, Bandaraya Kuantan kekal relevan dan menjadi tumpuan dengan jumlah kedatangan pelancong yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.
Beliau turut melahirkan perasaan optimis untuk Negeri Pahang mencapai sasaran jumlah pelancong yang ditetapkan bagi tahun ini.
“Kita juga optimis bagi mencatatkan jumlah kedatangan pelancong pada tahun ini seperti sasaran yang telah ditetapkan iaitu 13 juta orang pelancong,” katanya. -PAHANGMEDIA

