Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 10 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Pahang mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negara bermula esok 11 November sehingga Mac tahun hadapan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bencana banjir kerap melanda Pahang pada setiap tahun dan ini menjadikan kerajaan sentiasa berwaspada dan bersedia dalam apa jua keadaan.
Katanya, sehingga kini kesemua 11 daerah di Pahang telah bersedia termasuklah 159 pangkalan hadapan dan 856 pusat pemindahan sementara (PPS) yang membabitkan balai raya, sekolah, masjid dan surau.

“Kita membuat persiapan seperti mana biasa sebab ini perkara biasa dan semua daerah-daerah telah pun diarahkan untuk bersiap siaga untuk menghadapi Monsun Timur Laut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa / Siswi Dan Kluster Pertanian Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Jelai di Lipis.
Hadir sama ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Pada majlis itu seramai 171 siswa dan siswi bagi DUN Cameron Highlands membabitkan peruntukan RM51,300 manakala 170 penerima telah menerima bantuan BPP Kluster Pertanian berjumlah RM34,000.
Turut menerima sumbangan ialah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kuala Lipis berjumlah RM30,000 dan sebuah motosikal telah diberikan kepada Kopral Hamidun Haji Kamis.
Selain itu, seramai 25 orang telah menerima cek sumbangan Kerajaan Pahang melibatkan peruntukan berjumlah RM152,330 manakala seramai 13 pengerusi JPKK Jelai telah menerima sumbangan RM10,000 bagi setiap JPKK dengan kos keseluruhan RM130,000.
Pada majlis sama, dua peserta gantian Agropolitan Gahai turut menerima surat tawaran dan kunci rumah bagi projek berkenaan. – PAHANGMEDIA

