Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 08 NOVEMBER 2023 : “Bantuan Kerajaan Negeri Pahang yang saya terima hari ini dapat meringankan beban (perbelanjaan) untuk mak saya yang terlantar sakit,” itu ujar Encik Muhammad Rizal Zulkifli.
Encik Muhammad Rizal, 26, berkata, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dengan bantuan yang diterimanya hari ini.

“Saya amat suka dan bahagia dengan sumbangan yang di beri oleh YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Bantuan ini dapat meringankan beban (perbelanjaan) untuk mak saya.
“Mak saya sakit stroke di rumah, dah sembilan bulan dan terlantar di katil sahaja, tak boleh bergerak. Bantuan ini untuk membeli katil dan kerusi roda untuknya, dah keperluan lain seperti pampers (lampin pakai buang) dan susu,” katanya yang merupakan penghantar makanan e-hailing.
Sementara itu, Encik Abu Yazid Muahmad, 62, melahirkan rasa bersyukur di atas sumbangan komputer riba kepada anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih terutama sekali kepada YAB Menteri Besar Pahang yang telah bermurah hati untuk membantu saya dalam meringankan beban saya untuk menyara persekolahan anak saya.
“Dia (anak) mengambil jurusan senibina dan rekabentuk yang memang amat memerlukan laptop dan buat masa ini saya pinjamkan laptop saya dulu untuk kegunaan dia dan dengan bantuan laptop ini dia boleh gunakan sepenuhnya untuk pembelajaran dia,” katanya yang merupakan pesara Kerajaan.
Bagi Pengarah SME Corporation Malaysia Negeri Pahang, Puan Nadia Yusof berkata bantuan yang diterima daripada Kerajaan Negeri Pahang membantu aktiviti MB Fun Run & Ride 4.0 Sempena Karnival Hari Usahawan Negeri Pahang berjalan dengan lebih lancar lagi.

Seramai 38 penerima menerima sumbangan cek dan komputer riba oleh Kerajaan Negeri Pahang yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM649,030.
YAB Menteri Besar Pahang sebelum itu selaku Timbalan Presiden 1 Kelab Golf DiRaja Pahang telah menerima sebuah kereta daripada pihak Mitsubishi pada Majlis Penyerahan Kenderaan Kelab Golf Diraja Pahang di Pekarangan Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

