Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 8 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Pahang sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda seluruh negara bermula Sabtu ini hingga Mac tahun depan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sehubungan itu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran untuk menyelenggara sistem saliran dan perparitan termasuklah membersihkan longkang, parit dan kolam takungan air bagi memastikan kelancaran pengaliran air.
“Semalam saya telah mengadakan perbincangan bersama pihak dan konsesi terlibat penyelenggaraan longkang, parit dan kolam takungan di Bandaraya Kuantan melibatkan Alam Flora, JKR, SWcorp, MBK, Roadcare, YP Maintenance, JPD dan lain-lain di Bilik Mesyuarat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di Kuantan.
“Saya difahamkan longkang, parit dan kolam takungan di Kuantan sentiasa di selenggara secara berkala. Namun saya meminta semua pihak terlibat agar meninjau kembali keadaan terkini semua longkang, parit dan kolam takungan dibawah selian mereka serta pastikan ianya tidak ditumbuhi rumput, semak samun, dipenuh sampah sarap, tersekat pasir atau batuan dan lain-lain,” katanya.

Turut hadir pada perbincangan itu ialah Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang, Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin dan wakil-wakil konsesi.
Katanya lagi, tumpuan perlu dilakukan di lokasi-lokasi yang sering terjadi banjir seperti di Taman Guru, Gudang Rasau, Sungai Isap, Permatang Badak, Bukit Ubi, Bukit Sekilau, Air Putih, Semambu, Batu 3, Kg Jawa, Kg, Chendering, Kg Pandan, Beserah, Taman Tas dan Bukit Rangin.
Beliau turut meminta agar semua konsesi dapat memainkan peranan dengan pemantauan MBK dan saling bekerjasama.
“Perkara ini juga amat diambil berat YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Kerajaan Pahang akan terus membantu dan memudahkan apa juga keperluan konsesi. Saya mahu melihat semula pelan tugasan dan ‘progress work’ semua konsesi yang terlibat berkaitan perkara ini, minggu hadapan,” katanya.
Beliau berharap semua konsesi terlibat dapat melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi demi keselesaan rakyat dan menjaga imej baik Bandaraya Kuantan. – PAHANGMEDIA

