Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 NOVEMBER 2023 : Sambutan Hari Integriti Nasional dapat memupuk nilai budaya baharu dan etika kerja dalam mengembalikan martabat negara.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata semua pekerja Kerajaan Negeri perlu memberi perkhidmatan yang seiring dengan nilai berkenaan.
“Ini juga dapat memupuk nilai budaya baharu, etika kerja, yang kita harapkan daripada semua kakitangan yang terlibat dalam kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat dalam Negeri Pahang ini.
“Usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berintegriti merupakan suatu hala tuju penting bagi memastikan kelestarian pembangunan negara dapat dicapai dengan sebaiknya.
“Pengukuhan dan penerapan nilai-nilai integriti dalam diri setiap dari kita haruslah dizahirkan melalui tindakan seiring dengan akhlak, kelakuan, adab, sikap, tabiat, personaliti, perilaku, dan keperibadian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti Nasional 2023 Peringkat Majlis Bandaraya Kuantan di Dewan Bandaraya Kompleks Bandaraya Kuantan hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuantan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Razihan Adzharuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), YBhg. Datuk Nor Yahati Awang; dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang, YBhg. Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Hairuzam Mohamad Amin@ Hamim.
Menurut beliau, sebarang salah laku yang dikesan boleh dilaporkan kepada pihak berwajib atau melalui saluran yang ada.

“Kita boleh laporkan salah laku, whistleblower kepada IIM di laman web whistleblower@IIM.gov.my sekiranya terdapat perkara-perkara yang boleh menyebabkan kesalahan di kalangan kakitangan supaya dapat diperelokkan lagi.
Beliau turut mencadangkan agar sambutan yang sama diperluaskan lagi kepada agensi-agensi Kerajaan dan jabatan Kerajaan Negeri pada tahun hadapan.
“Benda baik ini kita kena kongsi. Kalau boleh kita boleh melibatkan lebih ramai lagi supaya kita dapat sama-sama menanam perkara baharu untuk kita lakukan bersama.
“Usaha yang berterusan ini mesti dilakukan dan kalau boleh tahun hadapan IIM bersama SPRM adakan program yang lebih besar lagi bersama-sama warga kerja lain,” katanya.
Hari Integriti Nasional disambut pada 5 November setiap tahun dengan tema pada tahun ini adalah Integriti Citra Malaysia Madani. -PAHANGMEDIA

