Oleh : Fara Rosli
Foto : Radin Mohd Nor Hilmi Nordin
KUANTAN, 7 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menitikberatkan kebajikan para pelajar di negeri ini terutamanya pelajar yang kurang berkemampuan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, berikutan kos sara hidup yang kian meningkat, para pelajar sewajarnya dibantu agar proses pembelajaran di sekolah tidak terganggu.
“Bukan semua pelajar di sini datang daripada keluarga yang berkemampuan, jadi jika ada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik, kekurangan sehingga menjejaskan aktiviti pembelajaran dan juga persekolahan mereka, Kerajaan Negeri sedia bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, di sini hari ini.

Turut hadir Guru Besar SK Sungai Talam, Encik Safrul Kamalizam Safar serta Ketua Kampung Sungai Talam, Encik Zainuddin Taib.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri sentiasa cakna dalam membantu sekolah-sekolah yang memerlukan apatah lagi sekolah yang dikenalpasti terlibat secara aktif dalam bidang sukan.
“Soal program-program pembangunan murid ini memang kita boleh bantu, sekolah ini guru besar maklumkan memang ramai anak muridnya terlibat dalam beberapa acara sukan, yang itu menarik untuk saya bantu, pihak sekolah boleh kemukakan permohonan untuk kita bantu murid-murid yang aktif ini,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut telah disampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi kerja-kerja baikpulih padang sekolah serta penyampaian projektor LCD dan layar putih sumbangan Pahang Go.
Dalam majlis sama beliau turut berkesempatan untuk membuat lawatan dan menyaksikan proses ujian kecerdasan murid di Karnival SEGAK SK Sungai Talam. – PAHANGMEDIA

