Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 06 NOVEMBER 2023 : Atlet Negeri Pahang yang bakal ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 membawa amanah dan tanggungjawab besar dalam perjuangan mereka.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata kem yang diadakan ini menjadi titik permulaan para atlet menghadapi temasya sukan berkenaan.
“Saya telah berkongsi dengan mereka harapan Kerajaan Negeri Pahang terhadap pencapaian cemerlang mereka pada SUKMA tersebut.

“Justeru saya amat berharap kem ini menjadi titik mula untuk mereka membina iltizam baharu, semangat yang lebih jitu, dan melakukan persiapan dari segi mental dan fizikal untuk memastikan kejayaan mereka pada kejohanan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian penutup Kem Motivasi Atlet SUKMA Fasa 1 di Rompin Beach Resort yang berlangsung selama empat hari berakhir hari ini melibatkan 240 peserta daripada 27 acara sukan.
Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan; Pengarah Jabatan Belia & Sukan Negeri Pahang, Encik Mu’azamir Haji Jili; dan Ketua Kontinjen Pahang ke SUKMA 2024, YM. Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah Dato’ Indera Munir.

Beliau berkata, para atlet dilihat telah mempunyai semangat juang yang tinggi dan memahami tujuan kem atlet ini diadakan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Majlis Sukan Pahang (MSP).
“Insya-Allah pada bulan Februari atau Mac depan kita akan kumpulkan sekali lagi kesemua para atlet yang disenaraikan layak untuk mewakili Pahang pada kejohanan di Sarawak nanti. Pada kem motivasi kedua itu nanti yang saya kira cukup penting sebab itu adalah senarai akhir atlet kita.
“Saya akan teruskan momentum turun padang bersama dengan ketua kontinjen, Encik Zamri dan ahli lembaga pengarah Majlis Sukan Pahang bagi memastikan persiapan atlet dan jurulatih ini sentiasa berada pada prestasi yang terbaik dan tertinggi,” katanya.
Kem ini bertujuan memupuk atlet untuk lebih berkeyakinan terhadap keupayaan individu itu sendiri, meningkatkan ketahanan diri dari segi fizikal dan mental, serta membentuk semangat juang dan jati diri yang tinggi dalam kalangan atlet. -PAHANGMEDIA

