Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 30 OKTOBER 2023 : “Rasa suka (dengan bantuan yang diterima), bolehlah lepas untuk (barang) keperluan dia (anak),” kongsi penerima sumbangan Kerajaan Negeri Pahang, Encik Mat Noh Mohamed, 54.
Menurut bapa tunggal dari Kota Gelanggi 4, Jerantut itu, anaknya Muhammad Adam, 4, yang mempunyai masalah usus terkeluar sejak bayi memerlukan kira-kira RM1,000 sebulan bagi menampung kos keperluannya.
“Dia ada masalah dari kecil lagi, masalah usus (terkeluar), masa dia lahir usus dia tak bercantum. Dah bedah dah dulu, dia duduk hospital dekat setahun. Masa umur dia 3 tahun, usus dia tersumbat balik, dia kena bedah balik.

“Bantuan hari ini untuk keperluan dia, banyak yang kita kena beli sendiri macam beg stoma, pampers, susu. Sebulan dalam RM1,000 anggaran belanja untuk dia,” katanya yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan sebanyak RM500 sebulan.
Sementara itu, menurut Guru Besar SJKC Triang 2, Encik Lee Eng Pee, 55, turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang disifatkan prihatin dengan masalah yang dihadapi pihak sekolah.
“Saya dapat bantuan dari Menteri Besar untuk membaiki dewan yang runtuh yang agak teruk kalau diikutkan keterangan JKR. Kami memerlukan RM300,000 untuk memperbaikinya.

“Bantuan hari ini akan digunakan untuk membaiki dewan yang runtuh disebabkan ribut dan untuk membeli kompresor penghawa dingin yang turut rosak dalam kejadian ribut pada bulan Jun lepas,” katanya.
Manakala menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari, melahirkan penghargaaan kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi sumbangan bagi membaikpulih bekalan air di Kampung Orang Asli Kuala Boh, Cameron Highlands.
“Saya nak ucapkan terima kasih kerana kami di PAIP dapat sumbangan RM98,000 untuk projek di Kuala Boh untuk kita baikpulih beberapa kawasan di sana untuk kesejahteraan Orang Asli di Cameron Highlands.

“Projek tersebut adalah titah Tuanku, keperihatinan Tuanku Agong ketika lawatan di Kuala Boh untuk memastikan air di situ yang pecah untuk kita baiki di kawasan tadahan tersebut dan beberapa paip air untuk disalurkan ke kawasan Kuala Boh.
“Ia sebenarnya di bawah JAKOA tapi bila ini berlaku (paip pecah) dan aduan dilakukan kepada PAIP, PAIP mengambil inisiatif untuk kita perbaiki kawasan tersebut,” katanya.
Seramai 100 penerima melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.2 juta disampaikan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pada Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Lobi Utama, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, hari ini. -PAHANGMEDIA

