Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 OKTOBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyeru Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bergiat aktif dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Seri Paduka Baginda bertitah amalan menghulurkan bantuan ini merupakan cerminan kepada akhlak yang mulia dengan ciri kebersamaan dan kesepakatan.
“Beta juga ingin mengajak universiti ini untuk turut bergiat aktif dalam kerja-kerja amal dan sukarela, khususnya dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat yang di timpa musibah serta memerlukan belas ihsan kebajikan.
“Sesungguhnya orang tua-tua ada berpesan, pisang sesikat gulai sebelanga, tanda muafakat bersama-sama.
“Semangat bantu membantu seperti ini adalah merupakan amalan murni dengan ciri-ciri kebersamaan, kesepakatan, dan keharmonian yang menjadi cerminan kepada nilai akhlak seorang insan yang mulia,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah supaya para graduan menjadi pemangkin dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat Madani yang bersatu padu.
“Graduan yang dilahirkan hendaklah menjadi modal insan yang berkualiti, berkemahiran tinggi, berdaya saing, beramanah, dan berintegriti.
“Selain itu, para graduan juga perlu turut serta menjadi pemangkin dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat Madani yang bersatu padu, demi untuk menjamin keamanan, dan kestabilan negara kekal terpelihara sebilang masa.
“Pada masa yang sama, universiti ini perlu terus mengekalkan momentum dalam aspek kualiti pengajaran dan pembelajaran, serta penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan semua pihak untuk menjaga nama baik universiti yang mengabadikan nama baginda ini memandangkan ia secara tidak langsung bakal menjadi tumpuan umum.
“Sebagai sebuah instituties pengajian tinggi awam yang diabadikan dengan nama beta, reputasi universiti ini secara tidak langsung bakal menjadi tumpuan umum.
“Justeru, nama baik universiti ini hendaklah di tatang bagai minyak yang penuh oleh para graduan, ahli akademik, pentadbiran, kepimpinan, dan lembaga pengarah universiti.
Baginda bertitah demikian pada Titah DiRaja Tuanku Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UMPSA Gambang.
Mengiringi keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda, anakanda YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; barisan exco Kerajaan Negeri Pahang; Pro-Canselor Universiti, YBhg. Tan Sei Dato’ Sri Dr. Abi Musa Asaari Mohamed Nor; Naib Canselor Universiti, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin; dan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Pahang.
Seramai 4,851 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Gambang bermula hari ini. -PAHANGMEDIA

