Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 OKTOBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mengurniakan watikah pemasyhuran Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.
Seri Paduka Baginda bertitah supaya pemashyuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang ini membawa dimensi baharu kepada UMPSA.

“Izinkan beta memulakan bicara dengan merakamkan ucapan tahniah kepada paduka anakanda Pemangku Raja Pahang di atas pemasyhuran sebagai Pro-Canselor UMPSA.
“Semoga dengan pemasyhuran ini akan membawa dimensi dan idea baharu bagi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah untuk terus dimartabatkan sebagai institusi pengajian tinggi awam yang unggul di negara,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita diatas pemasyhuran Universiti Malaysia Pahang kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah sempena nama baginda.
“Pada hari ini setelah menempuh 21 tahun bermula dari penubuhannya, sejarah baharu telah tercipta apabila Universiti Malaysia Pahang secara rasminya dimasyhurkan dengan nama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

“Sebagai Canselor dan Sultan serta raja pemerintah Negeri Pahang Darul Makmur, beta berasa amat berbangga dan sukacita di atas kesudian Kementerian Pendidikan Tinggi dan semua pihak untuk mengabdikan nama beta dengan universiti yang bertuah ini.
“Di sini saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kerana mencadangkan nama saya sewaktu mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri (Yaakob) telah memutus untuk diberi penghormatan pada saya selaku Yang Di-Pertuan Agong kerana telah banyak memberi khidmat pada universiti ini. Terima kasih kepada Dato’ Seri Ismail dan Kerajaan Negeri,” titah baginda.
Baginda turut berdoa supaya UMPSA terus bersemangat dalam membentuk aspirasi kecemerlangan di dalam semua bidang pada masa hadapan menerusi penjenamaan ini.
Baginda bertitah demikian Titah DiRaja Tuanku Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UMPSA Gambang.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda, anakanda YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang; Pro-Canselor Universiti, YBhg. Tan Sei Dato’ Sri Dr. Abi Musa Asaari Mohamed Nor; dan Naib Canselor Universiti, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin.
Seramai 4,851 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Gambang bermula hari ini. -PAHANGMEDIA

