Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 22 OKTOBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyempurnakan permasyhuran Majlis Perbandaran Pekan Bandar DiRaja semalam.
Seri Paduka Baginda menzahirkan perasaan besar hati di atas perwartaan Majlis Perbandaran Pekan yang turut merupakan Hari Keputeraan baginda.
“Alhamdulillah, saya dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana pada malam yang penuh bermakna dan bersejarah ini, Bandar Pekan Bandar DiRaja Negeri Pahang Darul Makmur yang juga merupakan bandar keputeraan saya akan dimasyhurkan sebagai Majlis Perbandaran Pekan Bandar DiRaja.
“Detik yang penuh bersejarah ini sudah pasti juga amat bermakna buat seluruh rakyat Pekan dan juga Negeri Pahang Darul Makmur.
“Saya amat berbesar hati kerana tarikh bandar Pekan diwartakan sebagai sebuah Majlis Perbadaran Pekan adalah juga merupakan Hari Keputeraan saya,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan Majlis Perbandaran Pekan dan Kerajaan Negeri Pahang untuk meneruskan usaha memperkasa kesejahteraan dan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat.
“Dalam kita bergembira menyambut pengiktirafan ini, ianya tidak sewajarnya membawa kesan negatif kepada masyarakat Bandar Pekan.
“Saya telah dimaklumkan mengenai pembangunan Pekan Sentral yang akan menempatkan pasar baru, terminal bas, dan pelbagai pusat perniagaan yang bakal memberi impak yang besar kepada pengunjung dan masyarakat setempat.
“Selain itu, bandar Pekan Lama akan turut melalui program baikpulih terutamanya dalam mengindah dan mencantikkan persekitaran kawasan tersebut,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya proses pemodenan Bandar DiRaja Pekan perlu mempertahankan dan menjaga unsur tradisional kawasan berkenaan.
“Tidak dapat dinafikan Bandar Pekan akan turut melalui proses kemodenan. Namun demikian, saya berharap unsur-unsur tradisional sebagai sebuah Bandar DiRaja hendaklah terus di jaga dan dipertahankan.
“Kemunculan rekabentuk bangunan dan seni bina yang moden, tidak wajar menjadi faktor kepada kepupusan nilai seni dan warisan budaya tempatan.
“Pembangunan yang lebih mampan bersama usaha menjamin kelestarian alam sekitar, di samping pengekalan elemen tradisional, dan warisan seni bina tempatan, pada hemat saya, bakal menjadikan bandar Pekan sebuah bandar yang unggul dan berupaya untuk dinobatkan sebagai salah satu destinasi utama negara,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda turut berkenan bercemar duli menandatangani plak sebagai simbolik pemasyhuran Majlis Perbandaran Pekan Bandar DiRaja.
Mengiringi Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB. Tuan Nga Kor Ming dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

