Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 20 OKTOBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan memasyhurkan nama SK Ahmad dan SMK Ahmad kepada SK Sultan Ahmad dan SMK Sultan Ahmad hari ini.
Seri Paduka Baginda bertitah pemasyhuran nama baharu ini sebagai tanda penghargaan kepada Sultan Pahang Pertama bagi era moden, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Bendahara Ali.
“Anak-anak sekolah cepat dan mudah lupa dengan sejarah sebab banyak sangat bahan dalam digital.
“Pada 1926 ini merupakan sebuah sekolah zaman almarhum Sultan Ahmad yang pertama. Keturunan asal saya daripada kesultanan Melaka, saya Sultan yang ke-34 di Pahang. Dan sudah tentu banyak perkara yang saya cuba terapkan di negeri Pahang selagi hayat dikandung badan,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika Majlis Pemasyhuran SK Sultan Ahmad dan SMK Sultan Ahmad hari ini.

Mengiringi keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda, anakanda YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan YAM. Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YB. Menteri Pendidikan Malaysia, Puan Fadhlina Sidek; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan supaya kedua-dua sekolah ini dapat melahirkan pelajar yang berjaya.
“Saya percaya SK Sultan Ahmad dapat melahirkan lebih ramai pemimpin teknokrat atau pemimpin politik tetapi jangan sesekali lupa asal usul di SK Sultan Ahmad ini yang kita semua berada di sini.
“Guru besar dan guru harus meningkatkan prestasi sekolah. Disinilah kita akan melahirkan bakal pemimpin di masa akan datang. Pemasyhuran SK Sultan Ahmad dan SMK Sultan Ahamd ini diharap membawa keberkatan, membawa prestasi yang baik, yang menyerlah. Kita harus tahu dan harus bangga,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda turut berkongsi kenangan manis semasa menuntut di SK Ahmad pada 1965 dan baginda berkenan mencemar duli meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat kelas baginda sewaktu menuntut di sekolah berkenaan dan meninjau kawasan sekolah. -PAHANGMEDIA

