Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUALA LUMPUR, 20 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang hari ini menandatangani dua Memorandum Perjanjian (MoA) bersama syarikat Amat Bayu Sdn. Bhd. dengan nilai pelaburan berjumlah RM2 bilion bersempena Selangor International Business Summit (SIBS) 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu, Kerajaan Pahang turut menandatangani MoU bersama enam lagi syarikat iaitu Antares Park Development Sdn Bhd, MCKILP Deveopment Sdn Bhd, Muhibbah Engineering (M) Sdn Bhd, Teroka Majubina Sdn Bhd, S&I Urban Designers Sdn Bhd, TGA Solutions Sdn Bhd dan CNEEC.
Sementara itu, beliau berkata, SIBS 2023 merupakan langkah yang baik dalam menyediakan platform kepada penggiat industri untuk mendapatkan maklum balas dan komunikasi dua hala dalam mempercepatkan sebarang urusan.

“Saya berpandangan ini adalah satu cara yang sangat baik, satu ‘move’ yang boleh mendekatkan dengan pelabur-pelabur di mana kita boleh bersemuka walaupun kita tahu ada cara ‘online’, perbincangan dan sebagainya tetapi dengan cara seperti yang kita buat ini boleh dua hala, ada two way of communication dan kadangkala ianya boleh terus membuat keputusan dan ini boleh mempercepatkan sesuatu proses itu menjadi kenyataan,” katanya..
Majlis yang berlangsung selama empat hari ini telah bermula semalam sehingga Ahad ini dengan mempamerkan pelbagai produk serta perkhidmatan daripada pelbagai negeri dan agensi.
Pada penyertaan kali pertama ini, Kerajaan Negeri menerusi Invest Pahang turut menyertai persidangan SIBS dengan menyertai empat Expo yang dianjurkan iaitu Industrial Park Expo, Food and Beverage Expo, Smart City & Digital Economy Convention dan R&D & Innovation Expo.
Pahang mempromosikan beberapa sektor yang dibuka untuk pelaburan iaitu Aeroangkasa, mobiliti, pembuatan, keselamatan makanan dan pelancongan. – PAHANGMEDIA

