Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 11 OKTOBER 2023 : Meminimakan ketirisan serta pencerobohan haram merupakan perkara baharu bagi meningkatkan hasil Kerajaan Negeri Pahang pada tahun hadapan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana aktiviti berkenaan menyumbang kepada pengurangan kutipan hasil negeri.
“Daripada retreat ini saya dapati ada beberapa perkara baharu yang akan dikemukakan untuk tujuan bagi mendapatkan hasil.
“Contohnya kita akan pertingkatkan dari segi meminimakan keborosan dan ketirisan, pencerobohan secara haram, kerana masih ada lagi aktiviti-aktiviti sebegini.
“Kita akan tingkatkan lagi usaha seperti ini dan kita boleh jimatkan beberapa peratus lagi hasil daripada pendapatan negeri dan dapat dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Retreat Matan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2024 di Geo Resort & Hotel, Genting Highland di sini semalam.
Beliau berkata, namun demikian masih terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diperhalusi semula bagi memantapkan lagi pembentangan matan belanjawan pada akhir tahun ini.
“Saya dapat merasakan bahawa setelah melihat pembentangan hari ini, sasaran untuk mendapatkan hasil melebihi RM1 bilion akan dapat dicapai.
“Alhamdulillah setakat ini telah dicapai dua tahun berturut-turut, Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya mendapat hasil RM1 bilion di mana ia tidak membebankan rakyat negeri ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang fokus untuk meningkatkan pendapatan hasil Kerajaan Negeri pada tahun berikut.
“Fokus kita untuk mendapat lebib daripada tahun ini. Dan ada yang kita kekalkan, dan ada yang kita tingkatkan contohny rumah untuk Orang Asli daripada 100 unit kita naikkan kepada 120, jemaah haji daripada daripada RM500 kepada RM750, anak-anak kita yang belajar di IPTA daripada RM300 kepada RM400.
“Tapi ada lebih kurang 30 peratus lagi yang akan kita perhalusi dan akan kita pertingkatkan lagi,” katanya. -PAHANGMEDIA

